Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menetapkan Isnin sebagai cuti ganti dan bukannya cuti peristiwa sempena Aidilfitri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, tiada keputusan baharu berkaitan cuti peristiwa dibincangkan pada mesyuarat Exco, Rabu lalu.

Justeru itu, katanya, ketetapan cuti raya serta cuti gantian adalah amalan biasa dan bukannya cuti peristiwa.

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah esok dan cuti gantian esok diganti kepada Isnin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan langkah pelbagai agensi dalam menangani isu kesesakan lalu lintas, dengan jumlah kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 dikatakan bertambah 75,000.

"Perjalanan semua kenderaan lancar walaupun pergerakan perlahan.

"Kita menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan terus amalkan sikap bersabar terutama apabila terkandas dalam kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 8:23 AM