Pemandu e-hailing (tengah) tidak mengaku salah mencederakan wanita warga China di lobi hotel di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
Pemandu e-hailing (tengah) tidak mengaku salah mencederakan wanita warga China di lobi hotel di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


Kuantan: Pemandu e-hailing yang tular kerana didakwa mencederakan penumpang warga China di lobi hotel di sini, 16 Disember lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mohd Sidek Saleh, 32, yang juga orang kurang upaya (OKU) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas wanita warga China di sebuah lobi hotel, di sini pada 6.20 petang, 16 Disember lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyerang jari tangan kanan mangsa menggunakan kerusi lipat yang jika dijadikan senjata boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM15,000 serta syarat tambahan, tidak mengganggu mangsa dan saksi, perlu melapor diri setiap bulan di balai polis dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin yang mewakili tertuduh memohon Mohd Sidek diberi jaminan rendah mengambil kira dia perlu menanggung ibu bapa yang uzur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Tertuduh juga berstatus OKU selepas terbabit dalam kemalangan pada 2016 dan dia sendiri menyerah diri di balai polis untuk disiasat selepas kesnya tular," katanya.

Hakim Ahmad Zamzani kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin bersama syarat tambahan seperti dikemukan pendakwaan.

Kes itu disebut semula 5 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 2:23 PM