Ab Azih (duduk kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Paya Besar, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara SK Kuala Berang. FOTO NAZDY HARUN
Ab Azih (duduk kanan) bersama sebahagian penduduk Kampung Paya Besar, ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara SK Kuala Berang. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Berang: Penduduk Kampung Paya Besar, di sini, hanya sempat berteduh semalaman di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Paya Besar Kuala Berang sebelum diarah berpindah kali kedua berikutan PPS itu ditenggelami banjir.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Paya Besar, Ab Azih Mamat, 58, berkata, PPS Paya Besar dibuka pada 24 Disember pada jam 8 malam.

Menurutnya, semalam pihak berkuasa meminta mereka berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang, berikutan PPS sedia ada mula dilimpahi banjir.

Katanya, memandangkan keadaan semakin tidak selamat, kesemua mangsa berpindah ke PPS baru untuk bermalam kerana PPS Paya Besar ditenggelami banjir sedalam 1.5 meter.

"Selain berpindah ke PPS baru, keseluruhan penduduk kampung seramai 300 orang daripada 110 keluarga juga terpaksa berpindah tanpa ada rumah yang terselamat dalam kejadian banjir kali ini.

"Keseluruhan kampung ditenggelami banjir dan kesemua terpaksa berpindah. Kejadian banjir besar seperti ini berlaku pertama kali pada Februari tahun lalu.

"Daripada cakap-cakap penduduk awal kampung ini memberitahu tidak pernah berlaku kejadian banjir hingga menenggelamkan keseluruhan sebuah kampung sebelum ini," katanya.

Menurutnya, PPS Paya Besar dengan binaan dua tingkat namun bahagian bawah bangunan keseluruhan ditenggelami banjir dan menyukarkan pergerakan mangsa.

Katanya, justeru penduduk diarah ke PPS baru yang lebih selamat bagi memudahkan penduduk keluar sekiranya ingin membeli pelbagai barangan.

Ab Azih berkata, ini kali ketiga PPS Paya Besar dinaiki air hingga menyebabkan mangsa terpaksa berpindah kali kedua ke PPS SK Kuala Berang.

"Alhamdulillah, proses pemindahan berjalan lancar kerana ketika itu paras air tidak begitu dalam dan memudahkan pergerakan mangsa.

"Kami penduduk berharap semoga cuaca kembali reda kerana keseluruhan kampung ditenggelami banjir tanpa ada seorang pun boleh berteduh di rumah sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 1:16 PM