Kawasan Kampung Tok Pauh yang dipenuhi air akibat banjir menyebabkan penduduk tidak dapat keluar rumah. FOTO IHSAN ABU BAKAR
Kawasan Kampung Tok Pauh yang dipenuhi air akibat banjir menyebabkan penduduk tidak dapat keluar rumah. FOTO IHSAN ABU BAKAR
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Sebahagian mangsa banjir di Kampung Tok Pauh, di sini, mengharapkan bantuan berikutan kawasan itu ditenggelami air sehingga mereka sukar untuk bergerak.

Selain itu, mereka turut mengambil inisiatif dengan menjadikan surau kampung itu sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Ini berikutan kawasan itu dikelilingi air akibat banjir melanda hampir dua minggu lalu dan paras air naik secara berperingkat sekiranya hujan.

Wakil penduduk, Abu Bakar Senawi, 45, berkata, penduduk di kawasan berisiko rendah terpaksa berpindah ke Surau Al Hidayah di kampung itu untuk sementara waktu kerana bimbang paras air naik.

Katanya, setakat ini, 14 mangsa daripada lima keluarga tinggal sementara di situ kerana rumah mereka dekat dengan sungai.

"Ini ditambah pula hujan lebat malam tadi dan penduduk bimbang paras air di Sungai Pendang akan terus meningkat dan menyebabkan banjir bertambah buruk.

"Kawasan ini dekat dengan sungai agak besar dan bimbang ada buaya tersesat masuk ke rumah penduduk kerana sebelum ini penduduk pernah nampak buaya di situ selain ular," katanya.

Abu Bakar berkata, lebih 30 rumah penduduk terjejas dan ditenggelami air antara 0.5 meter hingga satu meter sejak kampung itu dilanda banjir bermula 24 Oktober lalu.

Katanya, penduduk turut mengharapkan bantuan daripada pihak berkenaan kerana ada dalam kalangan mereka tidak dapat keluar rumah kerana kawasan kampung digenangi air.

"Penduduk bersepakat melakukan gotong-royong memasak untuk dimakan bersama kerana tidak dapat keluar akibat banjir.

"Ada sebahagian penduduk tidak mahu berpindah ke PPS kerana rumah mereka tidak dimasuki air, cuma sekeliling kawasan rumah saja penuh dengan air menyebabkan mereka tidak dapat keluar," katanya.

Abu Bakar berkata, penduduk dihantui kebimbangan jika hujan lebat berlarutan, kawasan kampung itu akan terus ditenggelami air.

Katanya, mereka berharap bantuan sampai ke kampung itu untuk makan minum bagi menjalani kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:11 PM