Nazdy Harun


Kuala Berang: "Belum sempat tarik nafas akibat banjir akhir tahun lalu, kali ini banjir berlaku lagi," kata Raja Sulaiman Raja Mamat, 67, penduduk Kampung Kemat di sini, yang dilanda banjir semalam.

Menurutnya, sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ini sudah tiga kali berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila kediamannya dinaiki air setiap kali hujan lebat susulan limpahan sungai berdekatan.

"Hujan hanya tiga jam namun kesannya amat teruk apabila saya dan sebahagian lagi penduduk terpaksa berpindah ke PPS selepas rumah ditenggelami banjir," katanya.

Katanya, hujan lebat bermula jam 4.30 petang semalam mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Kemat dan Por yang membawa lumpur serta menyebabkan rumahnya dimasuki air setinggi 0.5 meter.

"Arus yang deras memaksa saya dan empat lagi ahli keluarga mengambil langkah selamat dengan berpindah ke PPS dan air mulai surut sepenuhnya kira-kira 7 pagi hari ini.

"Kami sekeluarga sudah letih dan trauma kerana setiap hujan lebat, kami terpaksa memindahkan barangan di dalam rumah ke tempat lebih tinggi bagi mengelak ditenggelami banjir," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya apabila tiba MTL banjir akan berlaku satu atau dua kali saja dan manakala dia akan berpindah sekali saja ke PPS namun MTL kali ini berbeza kerana sudah tiga kali berpindah.

Katanya, belum sempat hilang lelah mengalihkan barangan ke tempat asal, dia terpaksa mengalihkan kembali barangan di dalam rumah ke tempat lebih tinggi.

Raja Sulaiman berkata, kejadian kali ini berlaku secara mengejut apabila air melimpah dengan mendadak dan ia seperti kejadian kepala air.

"Kalau hujan berterusan munasabah juga berlakunya banjir namun kali ini hujan hanya tiga memadai hingga menenggelamkan rumah penduduk.

"Saya bimbang sekiranya hujan lebat akan berlaku lagi banjir kerana pada pengamatan air amat mudah melimpah berikutan keadaan sungai yang cetek," katanya.

RAJA Sulaiman menunjukkan barangan yang terpaksa dialih ke tempat lebih tinggi di dalam rumahnya bagi mengelak ditenggelami banjir. FOTO Nazdy Harun
RAJA Sulaiman menunjukkan barangan yang terpaksa dialih ke tempat lebih tinggi di dalam rumahnya bagi mengelak ditenggelami banjir. FOTO Nazdy Harun

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kemat Kamaruddin Ali berkata, berikutan kejadian itu seramai 71 mangsa daripada 23 keluarga terpaksa di pindahkan ke PPS di kampung itu yang dibuka pada jam 7 petang.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada masing-masing 22 lelaki, 28 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan enam perempuan, dua Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang bayi.

"Keadaan sungai yang cetek adalah punca utama berlaku banjir di kawasan ini dan kejadian kali ini dilihat paling buruk kerana hujan lebat hanya tiga jam mengakibatkan banjir.

"Sebelum ini banjir akan berlaku apabila hujan lebat melebihi dua hari barulah berlaku limpahan air sungai namun perubahan kedalaman sungai mengakibatkan air cepat melimpah ke kawasan rumah penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 12:35 PM