AHLI keluarga mangsa berkumpul di Hospital Kuala Kubu Baharu. FOTO NSTP
AHLI keluarga mangsa berkumpul di Hospital Kuala Kubu Baharu. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Hulu Selangor: "Arwah datang ke sini untuk beriadah memandangkan dia mempunyai perniagaan di sini," kata Mohd Azri Azahar,39.

Dia adalah abang ipar kepada Arif Fadzil Abdul Saleh ,43 yang mati lemas bersama dua anaknya berusia sembilan dan enam tahun di Sungai Balak, Jalan Genting Lama -Batang Kali di sini, hari ini.

Mohd Fazri berkata, mereka sekeluarga tinggal di Kuala Lipis dan hanya datang ke Batang Kali untuk menjalankan perniagaan motosikal klasik.

"Hari ini mereka ingin beriadah namun tidak sangka kegembiraan mereka sekeluarga bertukar tragedi.

"Saya mendapat berita berhubung kejadian selepas dimaklumkan adik saya yang juga isteri kepada arwah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya, bapa kepada tujuh anak itu disifatkan sebagai insan yang suka membantu orang lain.

"Arwah adalah anak ketiga daripada sembilan adik-beradik. Saya mengenali Allahyarham sebagai seorang yang periang dan ringan tulang bantu orang lain.

"Saya tidak sempat bertemu arwah ketika Aidilfitri lalu kerana arwah ke Jepun untuk urusan perniagaan," katanya.

Terdahulu, tiga beranak yang beriadah pada hari cuti hujung minggu di Sungai Balak, Jalan Genting Lama- Batang Kali di sini ditemui meninggal dunia dipercayai lemas.

Ketiga-tiga mangsa itu dikenal pasti sebagai Arif Fadzil Abdul Saleh ,43 serta dua anaknya dikenali sebagai Damia 9, dan Malik, 6 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 7:26 PM