KUIJSI komited menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan Islam (berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah) terunggul di selatan tanah air dan rantau ASEAN serta menjadi institusi pilihan kepada pelajar-pelajar Islam dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Asia Barat.
KUIJSI komited menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan Islam (berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah) terunggul di selatan tanah air dan rantau ASEAN serta menjadi institusi pilihan kepada pelajar-pelajar Islam dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Asia Barat.
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) telah ditubuhkan sejak 26 tahun lalu telah mula beroperasi di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru di bawah tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pada 17 Jun 1997, satu Perjanjian persefahaman (MoU) di antara MAINJ dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif telah diadakan.

Dengan termeterainya perjanjian persefahaman itu pada 11 November 1997, sebuah institusi bertaraf pengajian tinggi telah diwujudkan dengan menggunakan nama Pusat Pengajian Islam dan Bahasa Arab Johor (MARSAH) atau Bahasa Arabnya ialah Markaz al-Dirasat al-Islamiahwa al-Arabiah bi Wilayati Johor.

Bagi menyesuaikan dengan arus pendidikan semasa, pada 2001 nama ini kemudiannya ditukar kepada Institut Pengajian Tinggi Islam Johor (MARSAH) dan akhirnya pada 2006 ditukar sekali lagi kepada Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) bagi memenuhi kehendak penubuhannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan mengekalkan nama dalam Bahasa Arabnya iaitu Markaz al-Dirasat al-Islamiah (MARSAH).

MARSAH pada 22 Februari 2001 juga mendapat pengesahan penubuhannya oleh Kerajaan Johor pada 31 Januari 2001.

Dengan pengesahan itu, MAINJ pada 11 Januari 2005 telah menubuhkan MARSAH Sdn Bhd di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2004 serta membolehkan MARSAH mendaftar di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan seterusnya mendapatkan kelulusan untuk menjalankan kursus pengajian dari Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

Pada 2008, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) telah menambah satu lagi kursus Diploma Pendidikan Islam sepenuh masa selama enam semester atau tiga tahun pengajian.

Pada 13 September 2008, seramai 93 pelajar (58 lelaki, 35 perempuan) telah diterima masuk untuk mengikuti kursus ditawarkan berdasarkan kepada kelayakan asas yang mencukupi syarat dan melalui proses temuduga.

Kursus ini bertujuan untuk memberi kefahaman yang mendalam mengenai cabang-cabang ilmu yang berkaitan dengan Pendidikan Islam sebagai asas penting kepada bakal Guru-Guru Agama Kerajaan Negeri Johor.

Kursus ini juga mendedahkan pelajar kepada ilmu Islam yang sahih dan benar, ilmu pendidikan, ilmu pengurusan dan kenegaraan.

Program Diploma Pendidikan Islam MARSAH telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Quality Agency (MQA).

Dengan pengiktirafan ini, adalah menjadi tanggungjawab kolej untuk melahirkan bakal graduan yang cemerlang, berdisiplin dan berkualiti untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara kerana Allah SWT.

Pengiktirafan ke Kolej Universiti

Terdapat empat sekolah di KUIJSI iaitu Sekolah Pengajian Islam; Sekolah Pendidikan; Sekolah Muamalat dan Pengurusan serta Sekolah Dakwah, dengan bilangan pelajar keseluruhan sehingga Julai 2023 dianggarkan berjumlah 1,400 orang.

Sebanyak sembilan program diploma dan dua program sijil telah ditawarkan serta mempunyai pengiktirafan penuh MQA serta seterusnya akan menawarkan program di peringkat Ijazah Sarjana Muda mulai Disember 2023.

KUIJSI komited untuk menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan Islam melalui kefahaman akidah Ahli Sunnah Waljamaah aliran Al Asya'irah dan Al Maturidiah di selatan tanah air dan rantau ASEAN serta menjadi institusi pilihan kepada pelajar-pelajar Islam dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Asia Barat.

KUIJSI menjalinkan kerjasama dengan institusi dalam dan di luar negara di peringkat serantau dengan mengadakan pelbagai kerjasama menerusi perjanjian persefahaman khususnya bagi menarik mereka menyambung pengajian di KUIJSI.

Pada 2022, Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menyampaikan pemakluman naik taraf MARSAH kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan kini MARSAH dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Pada 13 Disember lalu, Sultan Ibrahim telah berkenan dimasyhurkan sebagai Canselor KUIJSI yang pertama pada Majlis Konvokesyen KUIJSI Ke-21 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (PERSADA).

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pula dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor I dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani turut dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor II.

Institusi Pendidikan Islam di Johor

Kesinambungan KUIJSI dan sistem pendidikan Johor yang telah berusia lebih 100 tahun berperanan untuk menyediakan peluang Pendidikan Tinggi Islam kepada lepasan sekolah dari dalam dan luar negara terutamanya untuk Bangsa Johor.

KUIJSI juga merupakan laluan khas menyambung pengajian peringkat Pendidikan Tinggi untuk lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan kelas aliran agama lain.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, KUIJSI sangat bertuah bernaung di bawah Sultan Ibrahim yang sentiasa meletakkan keutamaan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

"Kesultanan Johor seawal 1902 telah menitikberatkan pendidikan termasuk pendidikan agama. Pada 1902, peraturan telah dikeluarkan mewajibkan pendidikan diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 7 tahun.

"Kesultanan Johor memandang bahawa Pendidikan Islam bukanlah hanya bersifat keagamaan semata-mata tetapi juga membabitkan keseluruhan aspek kehidupan," katanya

Menariknya di KUIJSI ia merupakan satu-satunya institusi pendidikan yang berasaskan Islam di Johor yang menggunakan kombinasi teori dan praktikal yang seimbang. Dalam pada itu, selain penekanan dalam bidang pendidikan, KUIJSI juga turut bergiat aktif dalam aktiviti komuniti dan kemasyarakatan seperti misi bantuan banjir, program bersama warga emas dan gelandangan. Ia bagi memupuk semangat kemasyarakatan serta keprihatinan terhadap tanggungjawab sosial di kalangan pelajar dan warga KUIJSI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 7:00 AM