Keadaan banjir akibat limpahan Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan banjir akibat limpahan Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 2,854 orang setakat 3 petang hari ini berbanding 1,366 orang pada pagi hari ini.

Ini berikutan lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dibuka pada hari ini.

Kesemua mangsa banjir daripada 838 keluarga itu berlindung di 16 PPS di tiga daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir paling ramai adalah di Pasir Mas iaitu seramai 2,402 orang daripada 714 keluarga.

Mangsa banjir di Tanah Merah pula sejumlah 317 orang daripada 90 keluarga dan di Kuala Krai seramai 135 orang daripada 34 keluarga.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan, Sungai Semerak di Bachok melepasi paras amaran dengan bacaan 8.15 meter (m) berbanding paras normal 6m.

Pada masa yang sama, empat sungai pula melepasi paras waspada iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai (20.08m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah (12.07m), Empangan Bukit Kwong (17.26m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.1m).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 3:59 PM