Keadaan banjir di Taman Perumahan Desa Wira Jaya, Lubok Jong yang dinaiki air awal pagi tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Keadaan banjir di Taman Perumahan Desa Wira Jaya, Lubok Jong yang dinaiki air awal pagi tadi. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat apabila Tanah Merah menjadi daerah terbaharu dinaiki air dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuat setakat 3 petang tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir adalah seramai 1,298 orang daripada 417 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS berbanding 754 orang, pagi tadi.

Jumlah mangsa di Pasir Mas adalah paling ramai apabila seramai 905 mangsa ditempatkan di tiga PPS, diikuti di Bachok (320 mangsa, ditempatkan di dua PPS).

Tanah Merah pula menempatkan 42 mangsa, manakala seramai 19 mangsa di sebuah PPS di Kota Bharu dan seramai 12 mangsa di sebuah PPS di Machang.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras bahaya dengan bacaan 10.17 meter (m) berbanding paras normal 5m.

Manakala, Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok pula melepasi paras amaran dengan bacaan 8.38m berbanding paras normal 6m.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 6:31 PM