KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail (kanan) bersama penduduk meninjau keadaan air banjir di Sungai Golok, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail (kanan) bersama penduduk meninjau keadaan air banjir di Sungai Golok, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan terus meningkat kepada 1,377 mangsa membabitkan 491 keluarga sehingga pagi ini.

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,085 orang diikuti Kuala Krai 149 mangsa dan Tanah Merah 143 mangsa.

Pasir Mas membabitkan 14 PPS yang menempatkan 410 keluarga yang dipindahkan sehingga petang ini.

Kuala Krai mencatatkan lima PPS yang menempatkan 42 keluarga dan Tanah Merah merekodkan lima PPS dengan menempatkan 39 keluarga.

Sementara itu, portal ebanjir Kelantan mendapati, hanya satu sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan bacaan 10.35 meter.

Empat sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 10.45 dan Sungai Golok di Kuala Jambu 2.75m.

Sungai Kelantan di Tangga Krai mencatatkan bacaan 25.03m dan Sungai Lebir di Tualang 35.62m.

Pada masa sama, sebanyak 15 laluan ditutup membabitkan daerah Kuala Krai, Pasir Mas dan Machang berikutan dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 9:04 AM