Ahmad Hasbi

Seremban: Perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penceramah bebas, Azman Syah Alias, 42, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, dijalankan secara tertutup.

Prosiding hari ini memanggil semula saksi ke-11, iaitu mangsa, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sebelum Hakim Datin Surita Budin meminta individu yang tidak berkenaan supaya keluar dari kamar.

Terdahulu Azman Syah atau lebih dikenali sebagai PU Azman tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban, di sini, kira-kira 9 pagi diiringi tiga peguamnya.

Dia yang berbaju Melayu kelabu dan berkopiah kelihatan tenang dan sempat melemparkan senyuman dan memberi salam kepada petugas media yang membuat liputan kes berkenaan.

Prosiding bermula kira-kira 10 pagi dan berlangsung selama lebih dua jam berakhir 12.50 tengah hari sebelum Azman Syah dan peguamnya Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir keluar dari dewan perbicaraan.

PU AZMAN (tengah) ketika hadir di mahkamah. FOTAO Azrul Edham
PU AZMAN (tengah) ketika hadir di mahkamah. FOTAO Azrul Edham

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung, Zahida Zakaria, Mohd Hadi Hakimi Harun.

Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung pada 22 April 2024 dengan menampilkan tiga lagi saksi termasuk dua mangsa.

Pada 12 Oktober 2022 , PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 2:24 PM