PENDAKWAH selebriti, PU Azman ketika hadir dalam perbicaraan berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. FOTO Azrul Edham
PENDAKWAH selebriti, PU Azman ketika hadir dalam perbicaraan berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Saksi ke-11 iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun dipanggil sekali lagi hari ini untuk memberi keterangan prosiding kes amang seksual fizikal membabitkan Azman Syah Alias di Mahkamah Seksyen, di sini.

Remaja terbabit yang juga mangsa memberi keterangan hampir dua jam di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada prosiding yang dijalankan secara tertutup bermula jam 2.30 petang.

Kali pertama remaja itu dipanggil pada prosiding yang berlangsung Disember tahun lalu.

Sementara itu, Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man tiba di mahkamah ditemani barisan peguamnya Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Ketika ditemui di luar mahkamah sejurus prosiding, dia yang turut dikenali sebagai PU Azman sempat berseloroh yang sambutan Aidilfitri meriah seperti biasa, tetapi tidak diserikan dengan 'kerepek bawang'.

Dia yang berbaju Melayu berwarna coklat turut mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin kepada media.

"Saya sambut raya di Perak bersama saudara mara di sana dan sekarang baru balik ke rumah keluarga di Rantau, Seremban," katanya.

Dalam pada itu ditanya pemberita alasan menutup ruang komen di laman Instagramnya (IG), Azman memberitahu dia sengaja berbuat demikian.

"Saya saja tutup komen di IG kerana lebih selesa. Sebelum ini pun saya pernah tutup juga dan dah buka balik. Ia bukan kerana tekanan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Mohd Hadi Hakimi Harun, Goh Hsiao Tung, Nurul Balqis Zunaidi dan Zahida Zakaria.

Kali terakhir penceramah selebriti itu hadir untuk prosiding perbicaraan di Seremban pada 15 Julai lalu.

Azman menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang serta dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Kali pertama beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Azman kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen Ampang pada 21 Disember tahun lalu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada waktu tengah hari 22 Julai tahun lalu.

Dia turut berdepan empat lagi pertuduhan di dua mahkamah lain berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 6:21 PM