Ahmad Hasbi


Seremban: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menetapkan 24 hingga 28 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, 42, bagi lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dalam prosiding sebutan semula hari ini, Hakim, Datin Surita Budin berkata, 12 saksi pendakwaan mungkin akan dipanggil bagi memberi keterangan terdiri daripada doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat.

Terdahulu, Peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman Syah memberitahu mahkamah pihak pembelaan akan mengemukakan representasi selepas menerima dokumen kes di mahkamah lain membabitkan pengadu dan mangsa sama.

Tambahnya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada kes di mahkamah berkenaan mempunyai kaitan dengan kes di Mahkamah Seremban atau sebaliknya.

"Dalam kes ini terdapat 12 pertuduhan dan ada empat pengadu. Ada kemungkinan kita akan menghantar alibi.

"Jadi saya mencadangkan puan (Surita) menetapkan tarikh bicara kerana pertuduhan terhadap tertuduh membabitkan empat mahkamah termasuk di Shah Alam, Klang dan Ampang," katanya.

Surita kemudian menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh untuk keputusan representasi.

Sebelum itu, Azman Syah atau nama pentasnya PU Azman tiba di Kompleks Mahkamah Seremban jam 9 pagi dengan memakai kurta berwarna biru gelap, ditemani Mohamad Zahid.

Ditanya dirinya yang kini kelihatan aktif semula di media sosial Instagram, PU Azman atau digelar Cik Man memberitahu, ramai yang menghantar soalan peribadi dan agama kepadanya.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada masalah untuk menjawab soalan itu dan kadang-kadang ada yang tanya soalan berulang. Alhamdulillah saya juga sihat. Doakan," katanya ringkas.

Pada 21 Disember lalu, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Pada 7 Disember lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

PU Azman mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

PU Azman di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham
PU Azman di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 1:51 PM