PENDUDUK menggunakan laluan tak berturap serta berlecak sepanjang lapan kilometer di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau.
PENDUDUK menggunakan laluan tak berturap serta berlecak sepanjang lapan kilometer di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau.
Mary Victoria Dass

Ulu Tiram: Pejabat Daerah Kota Tinggi akan melakukan mesyuarat penyelarasan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membaik pulih laluan tidak berturap di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau di sini.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melakukan tinjauan di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil tinjauan mendapati terdapat dua cadangan bagi laluan masuk ke Kampung Baru Sungai Johor.

Beliau berkata, laluan pertama adalah melalui kawasan ladang Felda Ulu Tiram (daerah Johor Bahru).

"Laluan masuk sepanjang enam kilometer itu adalah milik peneroka Felda.

"Semakan dengan Pejabat Daerah Johor Bahru memaklumkan pihak pengurusan Felda akan membuat permohonan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk membaik pulih jalan berkenaan yang dikategorikan jalan pertanian," katanya.

Hazlina berkata, pada masa sama, Pejabat Daerah Kota Tinggi akan turut membuat permohonan peruntukkan KKDW menerusi Rolling Plan (RP) 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos RM500,000.

Ini kerana, menurutnya, terdapat pertikaian kawasan yang mana kampung berkenaan terletak di daerah Kota Tinggi.

Bagaimanapun, penduduk adalah pengundi di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Puteri Wangsa dan Tebrau.

Hazlina berkata, cadangan laluan lain menerusi rizab Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) daerah Kota Tinggi.

"Kos yang tinggi diperlukan bagi kerja-kerja membina jalan pertanian baharu ke kampung itu kerana struktur tanah yang berbukit dan memerlukan kerja tambakan serta pembersihan kawasan.

"Malah, tindakan pengambilan balik tanah pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu dilakukan untuk menghubungkan jalan utama ke rizab jalan yang sedia ada," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan penduduk mengenai keadaan jalan sepanjang lapan kilometer di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau di sini disifatkan sangat berbahaya kepada penduduk terutama ketika musim hujan.

Penduduk mendakwa sejak kampung itu dibuka pada 1993, laluan sedia ada tidak pernah berturap sehingga ada sesetengah penduduk terpaksa berpindah.

Keadaan lebih teruk apabila hujan kerana jalan menjadi licin selain terdapat kawasan yang digenangi air dan kedudukannya curam di tepi parit serta lereng bukit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata, perkara berkenaan memang menjadi perhatian dan agensi berkaitan untuk mempertimbangkan tindakan yang bersesuaian.

Menurutnya, beberapa isu memerlukan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak, termasuk agensi dan penduduk penempatan baru di kampung berkenaan.

"Pada 12 Mei 2022, pihaknya melawat kawasan itu untuk bertemu penduduk dan melihat keadaan di Kampung Baru Sungai Johor.

"Saya menjalankan beberapa siri mesyuarat bersama pihak berwajib dan mengutarakan perkara ini di sidang dewan negeri sebelum ini.

"Isu ini bukan suatu yang baharu sebaliknya pernah mendapat perhatian daripada kerajaan pusat.

"Jadi, saya berharap ada jalan penyelesaian terbaik kerana keselamatan dan kebajikan mereka sangat penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:02 AM