Nancy Shukri, menghadiri Program Akad Semarak Ummah 2023, seramai 30 pasangan Berkahwin beramai-ramai, di Masjid Darul Hana, Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Nancy Shukri, menghadiri Program Akad Semarak Ummah 2023, seramai 30 pasangan Berkahwin beramai-ramai, di Masjid Darul Hana, Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penganjuran program Akad Nikah Semarak Ummah akan dikembangkan dengan lebih meluas bagi meningkatkan kadar kelahiran sekali gus membantu mencapai sasaran 46 juta penduduk di negara ini menjelang 2071.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia antara langkah diambil bagi meningkatkan kelahiran berikutan kadar kesuburan penduduk negara menurun mendadak sejak 50 tahun lalu.

Beliau berkata, menerusi program berkenaan, kerajaan membiayai perbelanjaan majlis pernikahan serta kenduri pasangan terpilih, sekali gus meringankan beban mereka untuk memulakan hidup baru.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan program ini (Akad Semarak Ummah) dengan matlamat membantu meningkatkan kelahiran kerana kita melihat kadar kesuburan di Malaysia menurun.

"Kadar kesuburan penduduk di Malaysia menurun dengan mendadak iaitu daripada 6.7 orang anak bagi seorang wanita pada 1957 kepada 4.0 orang anak pada 1980; 3.0 orang anak pada 2000; 2.1 orang anak pada 2010 dan terkini hanya 1.6 orang anak pada 2022, kadar terendah yang pernah dicatatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Akad Semarak Ummah 2023 di Masjid Darul Hana, di sini, hari ini.

Seramai 30 pasangan sekitar bandar raya ini menyertai program berkenaan dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan, manakala pengantin hanya perlu menyediakan membayar RM15 bagi mendapatkan sijil nikah.

Nancy berkata, kadar kesuburan yang rendah sekali gus mempercepatkan proses penuaan penduduk di mana Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2044, iaitu apabila 15 peratus daripada keseluruhan penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas.

Selain membantu meringankan beban pasangan untuk mengadakan majlis, beliau berkata, program itu juga bermatlamat untuk menggalakkan remaja bernikah secara sah sekali gus menangani isu mengandung luar nikah kalangan remaja.

"Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga menyediakan kursus bagi pasangan muda menguruskan diri dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 1:19 PM