Mohd Roji Kawi


Kuching: Ucapan syukur berulang-kali bermain di bibir Muhamad Zulhairi Ramanoor sebaik selesai majlis akad nikah beramai-ramai di Masjid Darul Hana, di sini, hari ini.

Pemuda berusia 26 tahun itu bersama pasangannya, Hana Humaira Abdullah, 22, antara 30 pasangan terpilih menyertai program Akad Nikah Semarak Ummah 2023.

Program berkenaan dianjurkan kerajaan Sarawak bersama Majlis Islam Sarawak (MIS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Parlimen Santubong dan Masjid Darul Hana.

Muhamad Zulhairi dari Matang Jaya, di sini, berkata pemilihan mereka dianggap sebagai rezeki untuk membina keluarga.

"Saya mendaftar untuk bernikah pada November lalu dan kami memang tidak menyangka dipilih menyertai program ini.

"Kami tidak sempat bertunang kerana dimaklumkan dipilih untuk bernikah beramai-ramai pada program ini. Saya amat bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan ketika kami mendirikan rumah tangga," katanya.

Katanya, dia hanya perlu menyediakan mas kahwin serta RM15 untuk proses sijil nikah.

"Yang lain termasuk jamuan disediakan oleh penganjur manakala pakaian tidak perlu berbelanja mahal kerana baju lama yang bersih serta keadaan elok pun boleh guna," katanya.

Sementara itu, Ali Panel, 52, dan pasangannya Suriyani Suib, 45, pula tidak menyangka mereka antara yang terpilih walaupun baru mendaftar, minggu lalu.

Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin itu berkata, mereka sebenarnya merancang untuk bernikah pada Februari tahun depan.

"Apabila diberitahu kami dipilih menyertai program bernikah beramai-ramai ini, kami terus menerimanya.

"Usia kami pun sudah lanjut berbanding pasangan lain yang masih muda, jadi eloklah kami percepatkan pernikahan," katanya sambil memaklumkan isterinya adalah kakitangan Institut Aminuddin Baki di Santubong.

Program berkenaan turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:00 PM
Seramai 30 pasangan Berkahwin beramai-ramai pada Program Akad Semarak Ummah 2023, di Masjid Darul Hana, Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Seramai 30 pasangan Berkahwin beramai-ramai pada Program Akad Semarak Ummah 2023, di Masjid Darul Hana, Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI