FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

FAKTOR kewangan menjadi halangan utama kepada pasangan untuk memiliki saiz keluarga diinginkan.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, walaupun secara purata ibu bapa di negara ini mahukan empat anak namun hakikatnya kebanyakan mereka hanya mampu mempunyai antara dua dan tiga sahaja berikutan kos hidup yang tinggi.

"Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) mendapati sebanyak 65 peratus daripada penduduk berkahwin menyatakan mereka ingin mempunyai lebih ramai anak sekiranya isu kewangan bukan suatu halangan," katanya.

Jelasnya, antara kos yang yang dilihat membebankan ibu bapa adalah pembelian peralatan dan makanan bayi yang mahal seperti susu dan lampin pakai buang serta upah pengasuh serta yuran taska yang tinggi.

Faktor lain yang menghalang keluarga di negara ini daripada mencapai saiz keluarga yang mereka inginkan adalah perkahwinan lewat, kesukaran mencari pasangan hidup dan masalah kesuburan, katanya.

Oleh itu, katanya, insentif dalam bentuk bantuan kewangan bagi menggalakkan kelahiran perlu diperkenalkan kerajaan dalam menangani isu itu.

"Kita memberi cadangan kepada kerajaan supaya insentif tambahan diberikan kepada ibu bapa seperti kemudahan taska, bonus untuk setiap kelahiran bayi serta membantu menampung kos harga susu yang secara langsung akan membantu ibu bapa mengurangkan kos sara hidup keluarga mereka," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukur berkata, jika dibandingkan dengan kadar kesuburan dengan negara-negara Asean lain, kadar kesuburan negara pada ketika ini berada pada tangga ketiga terendah iaitu 1.9 orang anak bagi setiap wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun pada 2016 selepas Singapura (1.2) dan Thailand (1.5).

"Kajian pada 2018 juga mendapati kadar kesuburan negara juga menurun dengan cepat iaitu kepada 1.8 orang, situasi ini akan mempercepatkan proses penuaan negara dan berkemungkinan negara akan mencapai status negara tua sebelum 2030," katanya.

Jelas beliau, sekiranya kadar kesuburan terus menurun dan tiada intervensi diambil untuk menangani keadaan ini, Malaysia dijangka akan mengalami penguncupan penduduk buat pertama kalinya pada 2072, seterusnya akan memberi implikasi ke atas ekonomi kerana penguncupan tenaga pekerja di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:01 AM