GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Beijing: China mencatatkan penurunan hampir satu pertiga jumlah kelahiran yang didaftarkan tahun lalu, memberi petanda bahawa dasar perancangan keluarga yang ketat gagal mendorong kadar kelahiran bayi lebih tinggi.

Selepas berdekad melaksanakan 'polisi satu keluarga satu anak', Beijing mengubah peraturan pada 2016 untuk membenarkan keluarga memiliki dua anak susulan kebimbangan masyarakat semakin berusia dan tenaga kerja yang semakin susut.

Statistik daripada Kementerian Keselamatan Awam yang dikeluarkan menunjukkan jumlah kelahiran yang didaftarkan menurun menjadi 10.04 juta pada 2020, sekali gus mencatatkan penurunan lebih daripada 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tahun lalu, menandakan empat tahun berturut-turut angka itu menurun.

Menurut data rasmi itu, keseimbangan jantina adalah 52.7 peratus lelaki dan 47.3 peratus perempuan.

China memperkenalkan dasar satu anak pada akhir 1970-an dalam usaha memperlambat pertumbuhan penduduk yang cepat, sebelum menilainya kembali pada 2016.

Namun, perubahan itu belum menghasilkan kelahiran bayi tinggi, berikutan wanita China yang bekerjaya memilih mengelakkan kelahiran manakala pasangan muda memberi alasan kenaikan kos dan sokongan dasar yang tidak mencukupi untuk keluarga.

Pada November lalu, China memulakan banci sekali dalam satu dekad, dengan banyak memberi perhatian terhadap populasi tidak teratur kesan daripada kelonggaran peraturan perancang keluarga.

Pakar demografi menganggarkan China memerlukan masa 15 tahun untuk dasar dua anak itu memberi kesan yang ketara terhadap jumlah penduduknya.

Sementara itu, golongan pesara di China dijangka mencecah jumlah 300 juta orang pada 2025.

Media China pada Disember memetik Menteri Urusan Awam, Li Jiheng dilaporkan berkata, kadar kesuburan negara itu 'menurun dengan bahaya' jauh di bawah kadar penggantian penduduk dengan 2.1 kelahiran setiap wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:00 AM