Masjid Nabawi, Madinah.
Masjid Nabawi, Madinah.
Addin

Saban tahun pada tanggal 12 Rabiulawal disambut sempena kelahiran dan kedatangan Nabi SAW yang merupakan rahmat dan anugerah teragung dari Allah SWT kepada alam semesta.

Nabi SAW adalah sosok insan yang hebat dan keunggulan keperibadian Nabi SAW jelas terserlah sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara, malah tidak seorang pun mampu menandingi ketokohan Nabi SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya': 107)

Majlis sambutan Maulidur Rasul bukan hanya di peringkat kebangsaan, malah turut disambut di setiap negeri, daerah hinggakan ke kampung dan taman perumahan dalam memanifestasikan cinta dan kasih terhadap Nabi SAW.

Lazimnya, masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia akan menyambut dengan mengadakan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan bagi menzahirkan dan meningkatkan kecintaan kepada Nabi SAW.

Pertama, aktiviti berselawat secara individu atau berkumpulan. Selawat akan dilantunkan semasa perarakan atau dalam sesuatu perhimpunan majlis. Lantunan selawat digubah dalam bentuk puisi dan syair, antara yang masyhur di Malaysia ialah marhaban dan berzanji.

Selawat bermaksud rahmat, kemuliaan dan kesejahteraan. Maksud berselawat dapat dilihat dari sudut pelakunya. Sekiranya daripada Allah, bermaksud memberi rahmat kepada makhluk. Selawat daripada malaikat bermaksud memintakan ampun.

Sedangkan selawat daripada orang mukmin bermaksud suatu doa supaya Allah SWT memberi rahmat dan kesejahteraan kepada Nabi SAW dan keluarganya. Jika daripada makhluk kepada Allah SWT, selawat juga dapat bermaksud doa, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang ramai atau untuk kepentingan bersama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya." (Surah Al-Ahzab: 56)

Ayat di atas bersifat mutlak dan seruan berselawat boleh difahami pada bila-bila masa tanpa dikhususkan pada waktu tertentu. Ini selaras dengan kaedah yang bermaksud: "Perkara yang umum akan kekal dalam keumumannya termasuk keseluruhan juzuk-juzuknya."

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tiada duduk sesuatu kaum di dalam sesuatu majlis, sedang mereka tidak menyebut akan Allah dan tiada berselawat untuk Nabinya, melainkan menderita kekuranganlah mereka dan jika Allah menghendaki maka Allah akan mengazab mereka atau akan mengampuni mereka." (Riwayat al-Tirmizi)

Kedua, mengadakan aktiviti forum, ceramah, kuliah yang mampu menyeru masyarakat Islam untuk mencintai dan menghayati sirah Nabi SAW. Lazimnya, pengisian yang diadakan di surau, masjid, dewan atau padang terbuka bagi menyampaikan mesej berkaitan sirah Baginda SAW, cara-cara untuk mentaati perintah Allah SWT dan Baginda SAW.

Selain itu, melaksanakan hukum-hakam yang diajarkan, memperjuang dan memperkasa syariat Islam, menyeru masyarakat ke jalan dakwah, memperbanyakkan selawat serta mencintai ahli keluarga Nabi SAW dan pelbagai lagi.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan semua kisah daripada rasul-rasul kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya kami teguhkan hatimu." (Surah Hud: 120)

Ulama menjelaskan sekiranya kisah nabi yang sudah diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Quran menjadi peneguh jiwa Nabi SAW, maka sudah pasti kisah dalam hidup Nabi SAW sendiri dari aspek kelahiran, perjuangan dan akhlak juga mampu menjadi penguat dan peneguh jiwa hati umat Nabi SAW.

Ketiga, persembahan nasyid yang sinonim dengan hiburan yang berbentuk nasihat dan dakwah dalam Islam. Persembahan nasyid turut memeriahkan lagi suasana sambutan Maulidur Rasul.

Lirik nasyid yang dialunkan penuh dengan puji-pujian terhadap Nabi SAW, menyeru kepada mencontohi akhlak dan menghayati pengorbanan serta sirah perjuangan Nabi SAW dalam menjulang Islam.

Kaedah fiqh menyatakan 'asal bagi sesuatu itu adalah harus sehingga wujudnya dalil yang mengharamkannya.' Kaedah terbabit menjelaskan bahawa hukum sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang nyata menjelaskan keharamannya.

Demikian beberapa aktiviti yang sering dilaksanakan ketika sambutan Maulidur Rasul untuk membantu masyarakat Islam ke arah meningkatkan kecintaan, mendalami pengetahuan dan mencontohi akhlak Nabi SAW.

Namun perlu ditegaskan bahawa sambutan Maulidur Rasul perlu dibatasi dengan syariat Islam supaya terhindar daripada melakukan atau mencipta ibadah khusus dan perkara maksiat ketika sambutan diadakan.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:02 AM