Che Safuan tak tidur lena tunggu anak sulung.
Che Safuan tak tidur lena tunggu anak sulung.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Mak sudah beberapa hari tak lena tidur fikirkan Kak Long, dia tak sabar tunggu Kak Long balik ke rumah," kata Khairul Nizam Hamzah.

Khairul Nizam, 27, adalah adik bongsu kepada Siti Mariah, 39, yang hilang tanpa khabar berita sejak sembilan tahun lalu sebelum ditemui di Labu, Negeri Sembilan, kelmarin.

Menurutnya, dia sendiri berdebar untuk berjumpa kakak sulungnya itu di depan mata esok selepas sembilan tahun hilang tanpa khabar berita.

Katanya, ibu, Che Safuan Abd Rahman, 61, merancang menyediakan makanan kegemaran Siti Mariah iaitu laksa sempena menyambut kepulangannya esok.

"Kelmarin (Rabu) kami memang ada bercakap menerusi panggilan video tapi tidak terlalu lama kerana ia hanyalah proses untuk kami mengesahkan dia adalah Kak Long menggunakan telefon pintar Ketua Balai Polis Labu.

"Pada mula saya dan mak tengok Kak Long pada panggilan video tu, rasa agak lain kerana bentuk fizikal yang agak berisi, tapi bila sudah bercakap, kami yakin itulah Kak Long, tidak banyak perkara yang kami cakap.

"Cuma bertanya khabar dan minta dia balik kampung. Kak Long cakap dia akan balik tapi belum pasti jam berapa dia akan sampai di sini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairul Nizam berkata, pertemuan keluarganya dengan Siti Mariah esok diharap akan meleraikan segala persoalan yang menyebabkan kakaknya tidak pulang selama ini.

"Ketika kakak keluar pergi kerja, saya masih remaja, saya pun tidak tahu kenapa Kak Long tidak pulang selama sembilan tahun, sekiranya ada kesilapan atau tersalah cakap dari mak ayah atau adik beradik lain, maka esok adalah hari bermakna untuk bermaaf-maafan.

"Tapi kami sebenarnya tidak mempunyai apa-apa masalah, bagi saya Kak Long adalah seorang kakak yang sangat baik dan bertanggungjawab," katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Bercerita lanjut, Khairul Nizam berkata, kenangan bersama Kak Long sentiasa terpahat dalam ingatan apatah lagi dia selalu menemani kakaknya itu untuk membeli ais di rumah jiran.

Katanya, kesusahan hidup sebagai anak penoreh getah membuatkan mereka hidup berdikari.

"Dulu di rumah tiada peti ais, jadi Kak Long selalu ajak saya teman dia pergi beli ais di rumah jiran, kemudian kami akan bancuh air untuk sekeluarga.

"Ketika Kak Long masih belajar di universiti, saya pernah minta dia beli hadiah kasut roda sempena hari jadi saya, tapi ketika itu sukar hendak dapatkan kasut roda selain harganya mahal tapi Kak Long tidak hampakan saya, dia tetap beli kasut yang ada lampu untuk saya.

"Malah dia juga beli beg dan kelengkapan sekolah lain untuk saya ketika dia sudah bekerja," katanya.

Semalam media melaporkan penantian sepasang suami isteri untuk menemui anak sulung mereka yang hilang tanpa khabar berita sejak sembilan tahun lalu akhirnya bernoktah.

Hamzah Said, 65, dan isterinya, Che Safuan dari Kampung Sireh, Naka, Padang Terap tidak putus mengucapkan syukur apabila dimaklumkan mengenai penemuan anak Siti Mariah di Labu.

Kisah kehilangan Siti Mariah pernah dilaporkan media pada 20 November lalu.

Hamzah dan isterinya sebelum ini meluahkan kerinduan terhadap anak sulung mereka yang hilang tanpa khabar berita selepas keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan pada 2015.

Siti Mariah adalah bekas pelajar lulusan Ijazah daripada Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2004 hingga 2007.

Selepas tamat pengajian, dia bekerja di sebuah bank di ibu negara.

Pelbagai usaha dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengesan Siti Mariah, namun menemui jalan buntu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 2:29 PM