Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: "Saya mahu mulakan hidup baru, saya minta maaf kepada orang tua saya, sememangnya saya sangat rindu dengan mak dan ayah saya," kata Siti Mariah Hamzah,39.

Siti Mariah atau mesra dengan panggilan Kak Long itu akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya tengah hari tadi disambut kedua ibu bapa dan adik beradiknya yang lain.

Menurutnya, dia sangat gembira dapat bertemu keluarganya hari ini selepas sekian lama tidak pulang ke kampung halaman.

"Sebak sangat-sangat rindu kat mak ayah.. Ingat semua benda di sini, inilah tempat saya dilahirkan, tempat saya bermain, saya nak mulakan hidup baru, saya nak perbetulkan... semoga urusan saya dipermudahkan Allah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sireh, Naka di sini, hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak terutama polis yang membantu mencarinya.

Ibu Mariah, Che Safuan Abd Rahman, 61, berkata, dia sangat bersemangat hari ini untuk menyambut kepulangan anak perempuan tunggalnya.

"Akhirnya dia ada di depan mata, sebelum ini makcik pergi menoreh pun tak bersemangat tapi apabila tahu Kak Long nak balik saya jadi semangat.

"Pagi tadi saya sudah mula masak termasuk sediakan makanan kegemarannya laksa," katanya.

Sebagai seorang ibu, Che Safuan sentiasa memaafkan anaknya dan tiada apa yang paling menggembirakan apabila dapat melihat wajah dan memeluk anaknya hari ini.

"Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, dia tetap anak saya," katanya.

Bagi Hamzah Said, 65, sebagai bapa dia berharap hubungan bersama anaknya akan kembali akrab seperti dulu.

"Kami nak hidup macam dulu balik, kembali ceria dan gembira," katanya yang juga penoreh getah.

Kisah kehilangan Siti Mariah pernah dilaporkan media pada 20 November lalu.

Kelmarin media melaporkan adik bongsu kepada Siti Mariah, Khairul Nizam, 27, berkata, kakaknya ditemui di Labu, Negeri Sembilan dan mereka dapat bercakap menerusi panggilan video menggunakan telefon pintar Ketua Balai Polis Labu, Rabu lalu, sebelum berjanji dia akan pulang.

Hamzah dan isterinya sebelum ini meluahkan kerinduan terhadap anak sulung mereka yang hilang tanpa khabar berita selepas keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan pada 2015.

Siti Mariah adalah bekas pelajar lulusan Ijazah daripada Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2004 hingga 2007.

Selepas tamat pengajian, dia bekerja di sebuah bank di ibu negara.

Pelbagai usaha dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengesan Siti Mariah, namun menemui jalan buntu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:46 PM
SITI Mariah memeluk ibu bapanya, Hamzah Said dan  Che Safuan Abd Rahman di rumah mereka di Kampung Sireh Naka. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SITI Mariah memeluk ibu bapanya, Hamzah Said dan Che Safuan Abd Rahman di rumah mereka di Kampung Sireh Naka. FOTO Noorazura Abdul Rahman