SITI Mariah hilang sejak sembilan tahun lalu.
SITI Mariah hilang sejak sembilan tahun lalu.
Noorazura Abdul Rahman

Kuala Nerang: Sepasang suami isteri di Kampung Sireh, Naka, di sini, resah memikirkan nasib anak perempuan mereka yang hilang sejak sembilan tahun lalu.

Hamzah Said, 65, berkata, anaknya, Siti Mariah yang kini berusia 39 tahun pernah menghubungi ibunya, Che Safuan Abd Rahman, 71, pada Januari 2016 sebelum hilang tanpa khabar berita.

Katanya, anak sulung mereka itu bekerja di sebuah bank di ibu negara selepas menamatkan pengajian dalam bidang kaunseling di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 2007.

"Selepas tempoh kontrak kerja (bank) hampir tamat pada 2015, anak saya pernah pulang sementara ke kampung untuk bertemu keluarga dan dia mahu mencari kerja di sekitar Kedah kerana mahu dekat dengan kami.

"Dia keluar mencari kerja awal Januari dan pernah menghubungi isteri saya sekali pada bulan yang sama sebelum gagal dikesan kerana nombor telefon miliknya juga sudah tidak aktif," kata bapa kepada empat anak itu.

Hamzah berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari Siti Mariah termasuk pergi ke rumah yang disewanya di Vista Angkasa, Kuala Lumpur, namun hingga kini menemui jalan buntu.

Katanya, Siti Mariah atau mesra dipanggil Along adalah seorang anak yang sentiasa bersikap mesra dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli keluarga lain.

Laporan polis berkaitan kehilangan Siti Mariah juga dibuat di Balai Polis Naka pada 23 Julai 2016.

Sementara itu, Che Safuan mengakui kehilangan Siti Mariah tanpa berita menimbulkan pelbagai persoalan kepada mereka sekeluarga kerana dia disifatkan sebagai anak yang suka membantu ibu bapa dan adik-beradik lain.

Katanya, anaknya itu banyak membantu keluarga dan membeli baju raya kepada mereka sekeluarga setiap kali tiba sambutan Aidilfitri.

"Kadang-kadang selalu terfikir bila duduk seorang apa yang membuatkan Along menghilangkan diri dan langsung tidak hubungi kami. Kami bimbang jika dia ada terkecil hati tapi sebelum itu hubungan kami baik dan tidak pernah bergaduh," katanya.

Che Safuan berkata, dia akan mencium dan peluk beberapa helai pakaian anaknya itu untuk melepaskan rindu.

"Along pulanglah rumah mak ayah. Kami tunggu di rumah siang dan malam. Semua orang nak jumpa Along," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Siti Mariah boleh menghubungi adik bongsunya, Mohd Nizam Hamzah di talian 01124191346.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:04 PM