GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Empat lelaki termasuk dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kejadian samun di sebuah rumah kongsi berhampiran tapak projek di Simpang Ampat di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun itu dikenakan perintah reman selama tujuh hari.

"Perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Isnin hingga 10 Disember ini.

"Tindakan ke atas mereka termasuk dua anggota masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan kesemua tangkapan itu dibuat susulan laporan buruh warga asing berusia 26 tahun, yang mendakwa dia didatangi tiga lelaki berpakaian preman yang menaiki sebuah kereta pada 1.30 pagi dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Suspek kemudian menggeledah rumah kongsi pengadu dan meminta wang sebanyak RM5,000 namun lelaki itu mendakwa tidak mempunyai wang seperti yang diminta.

Pengadu menyerahkan wang sebanyak RM520 kepada suspek dan ketika kejadian, seorang lagi rakan pengadu turut dipukul di bahagian paha sebelum telefon bimbitnya diambil.

Susulan itu, empat lelaki ditahan di empat lokasi berasingan di sekitar kawasan Seberang Perai di sini, pada jam 4.30 petang, sehari selepas kejadian.

Siasatan mendapati dua daripadanya mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah manakala dua lagi adalah anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT).

Kedua-duanya berpangkat koperal dan konstabel yang masing-masing sudah 12 tahun dan setahun dalam perkhidmatan.

Siasatan mendapati seorang daripada suspek menggeledah rumah berkenaan bagi mencari dadah dan menemukan botol yang digunakan bagi menghisap dadah.

Suspek kemudian meminta wang sebanyak RM1,000 supaya tidak ditangkap namun mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu menyerahkan telefon bimbit sebagai cagaran beserta wang sebanyak RM500.

Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV), namun tidak jelas.

Antara yang dirampas ialah vest polis dan kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:32 PM