GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan lima lelaki menyamar sebagai anggota polis dan memukul lelaki warga asing di kawasan parkir di Jalan Tun Razak, di sini, selepas didakwa menipu seorang daripada mereka sebanyak RM2 juta, mengundang padah apabila dua daripadanya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian 2.15 petang itu, pihak pengurusan di kawasan itu menerima panggilan berkaitan berlaku pergaduhan di kawasan parkir kereta.

Menurutnya, pengadu kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lima lelaki memukul lelaki warga Ghana dengan gari dan sebatang kayu.

"Pengadu kemudiannya bertanya kepada salah daripada lelaki terbabit dan dia memaklumkan bahawa lelaki warga asing ini scammer dan suspek mendakwa ditipu RM2 Juta.

"Suspek ingin lelaki terbabit ke Balai Polis Bukit Aman dan memaklumkan bahawa mereka adalah anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7)," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ashari berkata, pengadu seterusnya memberitahu mereka tidak boleh membawa keluar lelaki itu selagi polis belum sampai.

"Tidak lama kemudian, mereka tergesa-gesa beredar dari kawasan parkir itu walaupun pengadu beritahu kepada mereka untuk menunggu polis sampai.

"Pengadu sempat mengambil gambar kereta yang dinaiki lima suspek dan akibat pergaduhan itu sebuah kereta yang di parkir bersebelahan dipenuhi darah mangsa pukul," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian mangsa dipercayai menipu wang pelaburan suspek menyebabkan dia tidak berpuas hati dan menyerang lelaki warga asing itu.

"Mangsa juga sudah membuat laporan polis namun menghilangkan diri selepas itu.

"Pihak pengurusan terbabit turut tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, susulan itu dua suspek ditahan bagi membantu siasatan sementara yang lain sedang dikesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang serta menyamar penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 1:36 PM