NOOR Hashim (kiri) bersama pegawainya menunjukkan kereta suspek yang dirampas.
NOOR Hashim (kiri) bersama pegawainya menunjukkan kereta suspek yang dirampas.
Halim Said

Johor Bahru: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit kes memeras ugut bagi mendapatkan wang perlindungan daripada pemilik restoran di Taman Nusa Bestari di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam pada 9 Mac lalu, pengadu didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kereta dan meminta RM300 sebulan serta RM3,600 setahun.

Katanya, pengadu yang tidak mengenali suspek enggan memberi wang diminta dan diugut suspek untuk menghantar orang membuat kacau di premis itu.

“Kejadian disedari pelanggan dan isteri kawan pengadu yang berada di situ. Dia menjerit menyebabkan suspek melarikan diri.

“Bertindak atas laporan pengadu, polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir, dekat sini dan menahan seorang lelaki.

“Susulan itu, polis menahan tiga rakan suspek di Kampung Sri Jaya, Tampoi dan merampas sebuah Proton Iswara,” katanya.

Noor Hashim berkata, semua suspek berusia antara 34 hingga 52 tahun dan positif dadah methamphetamine. Mereka turut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah, curi motosikal dan ugutan.

“Siasatan mendapati kumpulan ini tiada kaitan dengan kongsi gelap dan setakat ini, kami hanya menerima satu laporan berkaitan kes seumpama itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:36 AM