ABDUL Halim (dua kiri) bersama penduduk menunjukkan plan tapak cadangan pangsapuri 31 tingkat di Kampung Bukit Lanjan. FOTO Aswadi Alias
ABDUL Halim (dua kiri) bersama penduduk menunjukkan plan tapak cadangan pangsapuri 31 tingkat di Kampung Bukit Lanjan. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Penduduk Kampung Bukit Lanjan di sini, hari ini membantah cadangan pembangunan bagi pembinaan satu blok pangsapuri 31 tingkat yang bakal dibina di atas Lot 3121, Jalan Penchala Indah bermula bulan ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bukit Lanjan, Abdul Halim Halid, 55, berkata, ini kerana cadangan pembangunan ini tidak selari dengan Pelan Zon Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang dinyatakan kepada orang awam.

"Tapak pembangunan ini di zon kepada pembangunan pada kadar kepadatan rendah. Namun, cadangan pembangunan ini adalah pada kadar kepadatan tinggi.

"Di samping itu, kelulusan pembangunan pada tapak cadangan oleh pihak perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah pada 2021, tetapi pemilik tanah bersebelahan mahupun (penduduk) setempat tidak mengetahui terdapat cadangan pembangunan di tapak itu.

"Pemaju tidak mematuhi kaedah lima iaitu perlu memaklumkan kepada awam berkenaan cadangan pembangunan. Pemilik tanah bersebelahan dan penduduk keseluruhannya dinafikan hak untuk memberi pendapat dan pandangan," katanya pada sidang medianya di sini hari ini.

Abdul Halim juga membangkitkan beberapa permasalahan lain yang berlaku sekiranya cadangan pembangunan projek ini diteruskan antaranya dari segi masalah lalu lintas akibat pertambahan penduduk dan bilangan kenderaan yang berlaku.

"Jalan Penchala Indah dan Jalan Bukit Lanjan 2 adalah laluan utama penduduk dan kedudukan lokasi cadangan pembangunan ini adalah di kedua-dua laluan utama itu.

"Isu masalah meletak kenderaan di sepanjang Jalan Penchala Indah juga akan berlaku. Pertambahan kenderaan akan lebih banyak apabila pemilik rumah bertindak menyewakan rumah mereka," katanya.

Menurutnya, impak daripada pembangunan berkepadatan tinggi ini juga akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan sekitar.

"Sehingga kini di Kampung Sungai Penchala, masalah banjir terus membelenggu penduduk yang berada di kawasan rendah. Sudah berpuluh tahun masalah banjir ini tidak dapat diatasi," katanya.

Abdul Halim turut mengingatkan DBKL berkenaan kejadian tanah runtuh di Kampung Palimbayan, Sungai Penchala pada tahun 2021 yang perlu diambil iktibar sebelum meluluskan pembangunan berkepadatan tinggi.

"Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan penduduk sedia ada mengalami kerugian besar dan sehingga kini penempatan berkenaan tidak boleh diduduki," katanya.

Penduduk Kampung Bukit Lanjan, Ramli Baharoom, 72, pula berharap agar cadangan pembangunan bagi membina pangsapuri ini tidak akan dijalankan.

Dia yang juga pesara kerajaan berkata, ini kerana kawasan didiami ini akan menjadi lebih padat, selain aspek seperti banjir kilat dan tanah runtuh yang sebelum ini pernah berlaku perlu diambil kira.

"Kami juga pemegang taruh yang sangat penting. Tak bolehlah diabaikan. Masalah banjir kilat, tanah runtuh, kepadatan trafik dan lain-lain perlu diambil kira," katanya yang telah tinggal di sini selama 12 tahun.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh iaitu Yap Yee Vonne pula menyifatkan cadangan pembangunan bagi pembinaan pangsapuri itu tidak sesuai diadakan di kawasan tersebut.

"Tempat ini kalau anda ronda memang tak sesuai untuk pembangunan yang berkepadatan tinggi. Di Kampung Sungai Penchala selalu berlaku banjir kilat dan tanah runtuh.

"Perkara ini banyak kali kami maklumkan kepada pihak DBKL bahawa kawasan ini tak sesuai (untuk projek pembangunan)," katanya.

Yap turut berharap DBKL menangguhkan terlebih dahulu cadangan pembinaan ini dan melihat aduan yang dibangkitkan oleh penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:39 PM