KEADAAN tanah runtuh di Pangsapuri Azlea, Kampung Sri Penchala, hingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KEADAAN tanah runtuh di Pangsapuri Azlea, Kampung Sri Penchala, hingga menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik


PENGHUNI di Azalea Apartments di Kampung Sri Penchala di Kuala Lumpur, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, malam tadi, tertanya-tanya apa nasib mereka selepas diarahkan pihak berkuasa untuk mengosongkan bangunan itu ekoran tidak lagi selamat untuk diduduki.

Mohd Khairul Sutjonoh, 39, berkata, penduduk daripada 24 rumah yang terjejas masih tertanya-tanya mengenai penempatan sementara.

“Malam tadi saya tidak balik ke kampung halaman dan mengambil keputusan melepak di kedai mamak kerana ingin tahu perkembangan tentang penempatan kami.

“Awal pagi tadi, saya sempat singgah ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail yang kononnya dikhabarkan sebagai penempatan sementara kami, tetapi apa yang menyedihkan dewan kosong dan pintunya ditutup.

“Sebagai penduduk, kami hendak tahu apa rancangan pihak berkuasa kerana sampai sekarang tiada sebarang taklimat diberikan atau makluman di mana-mana sepatutnya penduduk harus berteduh,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, dia terpaksa mengambil cuti kecemasan berikutan mahu menunggu apa keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya untuk mengesahkan sama ada bangunan pangsapuri itu selamat diduduki atau tidak.

MOHD Khairul Sutjonoh, menceritakan Keadaan tanah runtuh di Pangsapuri Azlea, Kampung Sri Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHD Khairul Sutjonoh, menceritakan Keadaan tanah runtuh di Pangsapuri Azlea, Kampung Sri Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu, Siti Norhalijah Hamid, 36, memberitahu kejadian seumpama itu kali pertama berlaku sepanjang 13 tahun mereka enam beranak menetap di pangsapuri terbabit.

Katanya, semasa kejadian mereka sekeluarga keluar makan sebelum mendapat tahu kejadian dalam kumpulan WhatsApp penghuni.

“Penduduk tidak dibenarkan tinggal di situ, hanya sempat mengambil dokumen penting dan sepersalinan pakaian sekolah anak dengan diiringi pihak berkuasa.

“Sehingga 1 pagi tadi, kami adalah orang terakhir meninggalkan kawasan rumah, tetapi tiada taklimat penempatan diberikan sebelum kami mengambil keputusan tidur di rumah keluarga berdekatan.

“Sudah tentu penempatan sementara adalah perkara paling penting apatah lagi saya mempunyai anak kecil berusia dua tahun dan tiga anak sedang bersekolah,” katanya.

SITI Norhalijah Hamid, 36, menceritakan Keadaan tanah runtuh di Pangsapuri Azlea, Kampung Sri Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Norhalijah Hamid, 36, menceritakan Keadaan tanah runtuh di Pangsapuri Azlea, Kampung Sri Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Muhammad Shafiq Samsi, 29, pula berkata, dia menyangka ada kemalangan kereta di kawasan itu sebelum terdengar bunyi dahan pokok patah.

“Saya jenguk dari tingkap bilik rupanya tembok berhampiran parkir sudah terbalik dihempap tanah runtuh,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Shafiq berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu hanya dia seorang diri berada dalam rumah di tingkat tiga pangsapuri itu manakala dua rakan penyewanya masih belum pulang.

“Selepas bersiap ala kadar dan membawa barangan penting, saya turun ke bawah.

“Dalam hati berdebar-debar bimbang tidak sempat menyelamatkan diri kerana runtuhan tanah masih berlaku.

“Syukur umur masih panjang, malah saya sempat mengeluarkan kereta dari ruang parkir bawah apartment sebelum menghubungi talian 999 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Berita berkaitan

65 penduduk dipindahkan, pangsapuri tidak selamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 1:09 PM