Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sini, awal pagi tadi mengaku sudah mendapat kebenaran ibunya untuk menunggang motosikal.

Murid sekolah di Bayu Perdana, Klang itu bagaimanapun memberitahu yang ibunya tidak mengetahui dia menunggang motosikal hingga ke Shah Alam untuk makan angin bersama rakan.

"Motosikal milik mak saya. Ya, mak beri kebenaran (tunggang motosikal) tetapi mak cakap, kalau jadi apa-apa kena tanggung sendiri," kata kanak-kanak itu ketika ditemui pada 1.45 pagi.

Katanya lagi, dia datang ke Shah Alam bersama dua rakan untuk makan dan berjalan-jalan, namun mereka menunggang motosikal secara berasingan.

Ketika proses dokumentasi oleh anggota trafik, kanak-kanak itu juga tidak membawa mahupun mengingati nombor kad pengenalannya.

Dia antara yang ditahan dalam operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bermula pada 11.30 malam hingga 2 pagi di sekitar pusat bandar.

Tidak hanya anak muda dari Klang, ada antara yang ditahan juga datang dari Petaling Jaya dengan alasan Shah Alam tempat 'healing'.

Selain itu, ada individu ditahan pernah disaman dan disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua BSPT Shah Alam, Deputi Superintendan SH Roslee SH Mohd

Norrani berkata, operasi itu menyita 43 motosikal dan 185 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

SH Roslee ketika Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di pusat bandar Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
SH Roslee ketika Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di pusat bandar Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

"Antara kesalahan adalah ubah suai motosikal, tiada nombor pendaftaran, tiada lesen, tiada brek belakang, ubah suai ekzos, tayar bersaiz kecil.

"Semua penunggang adalah golongan muda warga tempatan, selain seorang penghantar makanan," katanya yang memberitahu operasi membabitkan 39 pegawai dan anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 8:58 AM