Lima penunggang motosikal berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun ditahan kerana menunggang secara melulu di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pagi tadi. FOTO Ihsan JSPT Bukit Aman
Lima penunggang motosikal berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun ditahan kerana menunggang secara melulu di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pagi tadi. FOTO Ihsan JSPT Bukit Aman
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: Lima rakan ditahan kerana melakukan aksi 'Superman' ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang, di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, semua pemuda terbabit ditahan dalam Ops Samseng Jalanan bermula jam 11 malam hingga 5 pagi.

"Dalam operasi ini, JSPT menahan lima penunggang motosikal yang melakukan kesalahan menunggang dengan cara meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kaki ke belakang.

"Mereka melakukan aksi itu dengan alasan sekadar bersuka-suka semasa dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di sini ke rumah masing-masing.

"Mereka melakukan aksi bersaing sesama sendiri bermula dari Kilometer (KM)1.4 sehingga KM2.4 Lebuhraya NKVE arah Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman sejurus kesemua penunggang berusia antara 18 hingga 23 tahun itu memberhentikan motosikal mereka di hadapan sebuah rumah di Jalan Sekolah Padang Jawa di Klang.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut di mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

"Soal siasat mendapati kesemua penunggang terbabit kenalan rapat yang tinggal di sekitar Shah Alam dan tidak terbabit dalam mana-mana kumpulan yang salah.

"JSPT turut menyita motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha LC135 yang digunakan untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Azman berkata, dalam operasi sama pihaknya mengeluarkan 22 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada nombor pendaftaran, nombor fancy, tiada cermin sisi, tiada lesen, brek tidak berfungsi dan ubahsuai struktur motosikal.

"JSPT menasihatkan penunggang motosikal memastikan undang-undang dipatuhi kerana PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit kegiatan samseng jalanan.

"Ops Samseng Jalanan akan diteruskan bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa dan bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam dipelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 2:02 PM