Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Memegang jawatan sebagai Menteri Besar bukan jaminan untuk calon Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kemenangan parti itu dengan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, majoriti besar yang diperoleh bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk berada dalam keadaan selesa.

Menurutnya, pihaknya tidak memandang rendah lawan walaupun mendapat respons positif daripada pengundi, namun kerja keras semua jentera parti perlu bagi memastikan kemenangan yang diperoleh pada PRU lalu dipertahankan.

"Saya selalu sebut dalam mana-mana pilihan raya… dia macam main bola, selagi tak habis wisel penamat, selagi kita berlari tak habis garis penamat, kita jangan merasa selesa (dan) kena terus bekerja hingga titik terakhir," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ru (Dun) Rendang berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Markas Unit Daerah Mengundi (UDM) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai di sini.

Pada PRK kali ini, Ahmad Samsuri akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam saingan satu lawan satu.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU-15.

Pada PRU-15, Che Alias berjaya menewaskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selepas meraih majoriti sebanyak 27,179 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 4:09 PM