Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Calon Pas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menggunakan bajet negeri merupakan satu tindakan berani untuk pilihan raya itu pada 2 Disember ini.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga melihat Umno seakan tidak mempunyai banyak modal untuk menghentam Ahmad Samsuri pada PRK kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu berkata, Umno tidak dapat bermain isu memandangkan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu tidak ada kes salah guna kuasa dan rasuah.

"Jadi, semalam (kelmarin) menjadi satu daya tarikan rakyat negeri Terengganu apabila pembentangan bajet Menteri Besar tidak memperincikan bajet yang dibentangkan kepada portfolio.

"Tindakan itu juga satu sejarah baharu, keberanian oleh Menteri Besar selaku calon tidak menggunakan bajet negeri sebagai gula-gula pilihan raya dan melihat reaksi rakyat Terengganu, inilah calon yang berhak diangkat sebagai Ahli Parlimen Kemaman," katanya.

Beliau ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu berkata, pihaknya melihat tindakan Ahmad Samsuri berbeza dengan Barisan Nasional (BN) dan Umno sebelum ini yang mengumumkan bajet dan menggunakan jentera negeri ketika berkempen.

Ditanya sekiranya hujan melanda menjelang hari pengundian, beliau berkata pihaknya sudah bersedia dengan pengangkutan serta jentera selain sudah mengenal pasti pengundi yang terkesan dengan banjir.

"Saya juga jangkakan jumlah peratusan keluar mengundi tidak berubah, namun tidak kurang 80 peratus.

"Usaha kita sekarang mahu memastikan pengundi luar Kemaman pulang mengundi pada 2 Disember ini.

"Malah, kita juga jangkakan jumlah undi sebelum kini kekal, manakala sasaran kita memperoleh 30,000 undi mencapai sasaran," katanya.

Pada PRK itu, Ahmad Samsuri berdepan calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 2:15 PM