GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Dirogol dua minggu berturut-turut tanpa belas kasihan dalam bilik sendiri.

Itu nasib malang menimpa seorang wanita berusia 19 tahun apabila menjadi mangsa kerakusan bapa angkatnya di perumahan Sungai Tengi Kanan, di sini.

Perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas ibu mangsa berusia 41 tahun mengambil mangsa dan membawanya ke balai polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kali terakhir mangsa dirogol suspek berusia 43 tahun adalah pada 1 pagi, 27 Mac lalu.

"Bapa angkat wanita itu masuk ke bilik mangsa lalu merogolnya. Perkara ini berlaku dua minggu berturut-turut sejak mangsa duduk dengan suspek.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan pemeriksaan mengesahkan dia dirogol," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ramli berkata, selepas kejadian, suspek dilaporkan menghilangkan diri.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan di daerah Seri Alam, Johor pada 26 November lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:35 AM