OPV1 turut berada di dalam kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Maritim Malaysia sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
OPV1 turut berada di dalam kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Maritim Malaysia sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal diuji dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika di perairan Selat Melaka dari Pelabuhan Klang hingga Pulau Langkawi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa uji laut ke atas kapal itu yang kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.

"OPV1 yang berada dalam fasa uji laut bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember 2023.

"Penyertaan OPV1 dalam eksesais yang dilaksanakan THHE bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya sebelum diserahkan secara rasmi kepada APMM.

"Kapal ini antara kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik APMM sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023," katanya ketika lawatan kerja memantau kesiagaan semua kapal dan anggota penguatkuasa terbabit.

Menurutnya, OPV1 dilengkapi dengan Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan berkelajuan 21 knot dan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.

"OPV1 bernombor 8305 yang berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal," katanya.

Dalam pada itu, Hamid berkata, berharap supaya semua kapal yang mengikuti eksesais pada kali ini mencapai tahap yang dihasratkan dan meningkatkan kompetensi anggota APMM.

"Eksais kali ini diharapkan meningkatkan kecekapan dan kompetensi hampir 500 orang pegawai dan anggota APMM yang menyertai eksesais di samping sentiasa bersiap siaga dengan keadaan operasi sebenar di masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 1:51 PM