Rosli Ilham


Chukai: Kerajaan Perpaduan optimis untuk menoktahkan isu kemiskinan rakyat di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau bersama barisan kabinet daripada parti gabungannya tidak akan duduk diam demi merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan sudah melaksanakan pelbagai usaha membantu penduduk miskin termasuk petani dan peneroka yang kebanyakannya golongan Melayu.

"Apa yang kita buat, hutang peneroka Felda kita selesaikan, harga getah dua kali kita naikkan sehingga RM3 sekilogram, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan sebagainya.

"Kita juga membantu dengan meluluskan peruntukan RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk faedah orang miskin sahabat dan keluarga AIM," katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri di Kolej Universiti Tati (TATIUC), malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang AIM yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Anwar berkata, kerajaan terdahulu langsung tidak membantu AIM dalam menoktahkan kemiskinan tegar terutamanya kepada masyarakat Melayu.

"Ramai boleh bercakap mengenai nak tolong Melayu dan nak menjaga agama islam, sedangkan masa berkuasa tidak pernah membantu.

"Masa berkuasa, mengapa AIM langsung tidak dapat peruntukan beberapa tahun sebelum ini.

"Sedangkan saudara-saudari tahu lebih maklum ada usaha tambahan untuk mengurangkan beban orang miskin," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerjasama rapat daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama AIM mampu menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Katanya, beliau akan bincang dengan Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan agensi lain termasuk Felda, Mara, bagi mencari jalan bagi tujuan itu.

"Gabungan agensi itu perlu dilakukan agar tidak berlaku pertindihan dalam memastikan kemiskinan sifat.

"Saya juga mahu AIM menjadi 'gergasi' dalam membasmi kemiskinan. Bagaimanapun, pengurusan AIM perlu lebih cermat, cekap dan setiap sen yang dibelanjakan akan dipertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 12:23 AM