BERNAMA

Nilai: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa jumlah kemiskinan tegar dalam negara perlu dinoktahkan tahun ini.

Beliau berkata, sehubungan itu semua jentera kerajaan terutama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi di bawahnya perlu digerakkan segera ke arah memuktamadkannya.

"Tahun 2023 golongan ini (miskin tegar) kita mesti muktamadkan dan noktahkan jumlah kemiskinan, termasuk di Negeri Sembilan ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa di sini hari ini.

Turut hadiri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, KKDW juga kementerian strategik yang berupaya menyantuni rakyat yang majoritinya orang Melayu untuk dibantu selain kelompok kecil termasuk Cina, India, Orang Asli dan pedalaman Sabah serta Sarawak.

Perdana Menteri berkata, keseluruhan kementerian juga tidak hanya perlu membincangkan projek-projek besar dan mega, sebaliknya perlu berusaha membantu golongan terbabit keluar dari belenggu kemiskinan.

ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama

"Kita tidak hanya bincang tentang high speed railway, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), bangunan berkembar, Putrajaya dan sebagainya tetapi yang miskin nak beli susu anak tak cukup, nak beli pakaian sekolah pun tak cukup, jadi itu kita perlu beri keutamaan.

"Saya tidak fikir ini salah kalau semua jentera dapat ditumpukan, ini sebabnya kita mahu rakyat melihat sendiri apa yang dilakukan kerajaan termasuk kerajaan Negeri Sembilan, mengetahui program-program, dan bukan guna ruang politik untuk serang orang lain," katanya.

Sementara itu beliau sekali lagi mengulangi bahawa semua tandas sekolah di seluruh negara perlu disegerakan baikpulihnya pada tahun ini, sekali gus memberikan keselesaan untuk golongan pelajar yang juga nadi kepada negara.

"Kalau bercakap pasal ekonomi hebat, gaji menteri-menteri, gaji duta-duta khas semua tinggi, tapi tandas sekolah tak dapat dibaiki, sebab itu saya kata mesti selesaikan tahun ini untuk anak-anak kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 2:08 PM
ANWAR bersama Ahmad Zahid bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR bersama Ahmad Zahid bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai, hari ini. FOTO Bernama