ANWAR berucap pada Program Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India. FOTO Bernama
ANWAR berucap pada Program Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India. FOTO Bernama
Fahmy A Rosli


Shah Alam: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu tindakannya yang mengumumkan sebarang peruntukan khas kepada kaum tertentu dianggap mengundang persepsi yang beliau meminggirkan atau mengutamakan kaum tertentu sahaja.

Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendiriannya yang dipegang utuh selama ini, bahawa beliau seorang pemimpin yang memperjuangkan untuk semua kaum tanpa memilih warna kulit atau latar belakang.

Menurut beliau, itu antara syarat yang diperlukan oleh seseorang yang mahu menjadi seorang pemimpin kerana beliau percaya nilai sebegitu juga dituntut Islam, selain tidak langsung menghakiskan imannya.

Sehubungan itu, beliau menuntut sokongan semua pihak antara ada halangan kaum atau agama untuk bersama menjayakan dasar kerajaan pimpinannya khususnya dalam agenda menoktahkan kemiskinan tegas pada tahun ini.

"Ramai saudara kenal saya dan saya tidak tolak ansur dalam soal ini. Saya pernah sebut dulu dan sekarang dengan takdir tuhan diberi untuk pimpin negara ini...saya akan pimpin Malaysia untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua.

"Kalau miskin itu miskin...saya tak tengok warna kulit atau keturunan. Saya minta pimpinan India atau semua rakan di sini supaya faham, kena ada anjakan sedikit...anjakan paradigma yang jelas.

"Kena faham perubahan dasar dan saya nak kamu beri sokongan sepenuhnya untuk keseluruhan dasar tidak kiralah untuk kepentingan kaum India, Melayu, Cina, Kadazan.

"Maka jangan sebut ini agenda India. Tidak ada dalam agenda untuk masyarakat India, Melayu tetapi ia adalah agenda rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, petang ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), R Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran dan bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.

Berdasarkan perangkaan kerajaan, Perdana Menteri berkata kebanyakan kaum miskin di negara ini adalah orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata data menunjukkan kaum paling miskin adalah masyarakt India.

"Kalau masuk kategori miskin tegar yang sekarang ini dikira sebanyak 130,000 kerua keluarga. Kalau perlu tambahan RM100 juta atau RM200 juta, saya akan pastikan tidak ada yang miskin tegar pada tahun ini. Mesti diselesaikan. Ini masalah paling besar kaum India.

"Saya orang Melayu...kalau saya berani menyahut itu, saya kena berani laksanakan supaya kategori miskin tegar itu selesai, dinoktahkan sama ada dia India, Melayu, atau lain-lain.

"Saya tidak mahu saudara fikir dan berhujah pasal kaum sama ada dia di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan jadi Melayu. Tetapi saya sebut majoriti Melayu tetapi jumlah nisbah relatif kaum India itu tinggi (miskin tegar) di ladang.

"Mereka ini tinggal puluhan dan ratusan tahun sehingga bergenerasi serta mereka warganegara. Mengapa atas nama Melayu Islam kita boleh hina orang dan nafikan hak mereka?

"Saya tidak nafikan dan akan lawan pandangan itu. Isu miskin tegar dan ia menjadi satu cabaran besar bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk Kementerian Ekonomi untuk caranya berkesan bagi selesaikan isu ini.

"Kemiskinan tegar maknanya makan belum sempurna, susu anak belum terjamin. Jadi itu bagi saya keutamaan yang patut diselesaikan tahun ini juga," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 8:21 PM