R. Vincent (kanan) mengadakan perbincangan bersama pegawai ketika sidang media Ekesais Maritim Perkasa Barat 2023 di dalam Kapal KM Pekan sekitar Perairan Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
R. Vincent (kanan) mengadakan perbincangan bersama pegawai ketika sidang media Ekesais Maritim Perkasa Barat 2023 di dalam Kapal KM Pekan sekitar Perairan Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Kebelakangan ini, pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya dikesan memasuki negara ini sekitar Disember dan Januari setiap tahun.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim R Vincent berkata, pihaknya mendapati trend sedemikian agak ketara malah turut dilakukan di negara lain oleh etnik berkenaan.

"Kalau dikaji beberapa beberapa tahun kebelakangan ini, (terutama) Disember dan Januari.. begitulah 'pattern' mereka (Rohingya) masuk.

"APMM sudah nampak perkara ini, kita sudah bersiap sedia dan sentiasa pertingkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di atas Kapal KM Pekan di perairan Pelabuhan Klang pada jarak tujuh batu nautika dari Jeti Pulau Ketam di sini hari in.

Turut hadir, Pengarah Eksesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah dan Pegawai Memerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.

Ditanya mengenai kemungkinan kemasukan Pati berkenaan selepas diusir dari Aceh sebelum ini beliau berkata, belum ada sebarang cubaan memasuki perairan negara yang dikesan setakat ini.

"Setakat ini, kita belum kesan (kemasukan Pati Rohingya) jika ada, APMM khasnya di Langkawi dan Pulau Pinang bersiap sedia untuk diatur gerak," katanya.

Minggu lalu, portal antarabangsa melaporkan beratus warga Rohingya tiba di tepi pantai Ulee Madon, Muara Batu, Aceh Utara menggunakan sebuah kapal kayu sebelum kedatangan mereka itu tidak diterima penduduk di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan berkenaan kemudiannya memberikan makanan serta minuman kepada warga Rohingya terbabit sebelum mengarahkan mereka menaiki semula kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 5:06 PM