FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Melaka: Bekalan protein daripada sektor penternakan makanan seperti ayam, telur, kambing dan lembu di Melaka adalah melebihi keperluan penduduk, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Salleh.

Dr Muhamad Akmal (BN-Merlimau) berkata, pengeluaran telur di Melaka mencecah 3.3 bilion biji dengan nilai RM1.1 bilion setahun, melebihi nisbah kadar kepenggunaan (SSR) iaitu 853.92 peratus.

"Manakala bagi pengeluaran daging ayam pula, ia mencecah 96,000 tan metrik bernilai RM768 juta setahun membabitkan SSR 282.17 peratus.

"Maksudnya telur dan ayam di Melaka cukup untuk orang Melaka dan kita mampu untuk eksport terutama bagi membantu pengeluaran di negeri-negeri pantai timur," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai output yang dikeluarkan oleh petani, penternak dan nelayan di Melaka dan adakah ia mampu memastikan barangan asas cukup untuk keperluan rakyat.

Dr Muhamad Akmal berkata, Melaka turut mengeluarkan 1,865.5 tan metrik daging lembu dan kerbau membabitkan nilai RM55.98 juta setahun (SSR 33.04 peratus) serta 138 tan metrik daging kambing dan biri-biri bernilai RM4.38 juta (SSR 13.41 peratus).

Bagi sektor perikanan pula, Dr Muhamad Akmal berkata, SSR mencapai 92 peratus membabitkan 3,100 tan metrik bagi pengeluaran akuakultur bernilai RM26.7 juta setahun manakala tangkapan laut pula adalah 1,480 tan metrik bernilai RM37.1 juta.

"Saya percaya kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan melakukan usaha bagaimana nak meneruskan keterjaminan makanan asas dan mengawal daripada berkurang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 12:10 PM