PENGGUNAAN beras negara sentiasa mengatasi pengeluaran beras. FOTO Arkib NSTP
PENGGUNAAN beras negara sentiasa mengatasi pengeluaran beras. FOTO Arkib NSTP
Dr Adilah A Wahab

Keterjaminan makanan adalah satu kebimbangan di peringkat nasional dan global. Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) Bersatu pada tahun 2022, antara 691 dan 783 juta orang di seluruh dunia mengalami kelaparan dan majoritinya adalah penduduk Asia manakala 425 juta orang di Asia dianggarkan mengalami kekurangan zat makanan.

Meskipun Malaysia adalah antara negara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia, negara kita masih menunjukkan arah aliran yang tidak stabil dalam keterjaminan makanan.

Berdasarkan Indeks Makanan Keterjaminan Global (GSFI), pada tahun 2022 Malaysia menduduki tempat ke-41 daripada 113 negara iaitu penurunan tujuh tangga berbanding kedudukan pada tahun 2021. Oleh itu, bagi demi mengatasi itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjenamakan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Untuk menangani isu keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030. Kedua-dua dasar itu menekankan tiga aspek penting yang boleh meningkatkan keterjaminan makanan Malaysia yakni mengurangkan tahap import dan eksport makanan, meningkatkan pertanian domestik dan meningkatkan pengeluaran komoditi.

Walaupun Malaysia melaksanakan dua dasar yang komprehensif untuk menangani masalah keterjaminan makanan, Malaysia masih berdepan penurunan tujuh anak tangga daripada tahun sebelumnya dalam penarafan GSFI.

Justeru, terdapat tiga aspek penting untuk menambah baik GSFI Malaysia dan mengurangkan isu keterjaminan makanan.

Strategi pertama ialah mengurangkan import makanan pada produk terpilih. Sebagai contoh, produk ayam. Nisbah sara diri (SSR) telur ayam Malaysia adalah lebih daripada 100 peratus dan hampir 100 peratus untuk daging ayam.

Meskipun mempunyai SSR yang tinggi, jumlah ayam import meningkat 30 peratus daripada 7,800 tan pada Mei kepada 10,200 tan pada Jun 2022 selepas permit kebenaran import dimansuhkan.

Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia makan ayam lebih daripada yang sepatutnya.

Urus niaga import akan melibatkan ringgit Malaysia (RM) dan mata wang asing. Justeru, kadar pertukaran mata wang bakal meningkat.

Apabila Malaysia aktif melakukan urus niaga import, pertukaran mata wang yang tinggi juga berlaku dan aliran mata mata wang RM keluar lebih tinggi. Perkara ini akan mengakibatkan kejatuhan RM secara berperingkat berbanding mata wang lain.

Dalam majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan kebergantungan kepada import makanan pada jangka masa panjang akan menjadikan Malaysia bankrap.

Strategi kedua ialah mengurangkan eksport makanan. Padi adalah penting untuk keterjaminan makanan Malaysia kerana nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah, rakyat Malaysia mengambil purata 2.5 pinggan nasi setiap hari.

Akibatnya, dari tahun 2000 hingga 2016, pengeluaran beras naik 1.6 peratus namun penggunaan beras negara sentiasa mengatasi pengeluaran beras.

Untuk rekod, nisbah SSR bagi beras di Malaysia juga menunjukkan penurunan iaitu 62.90 peratus pada tahun 2022 berbanding 71.60 peratus pada 2014.

Meskipun begitu, Malaysia masih mempunyai jumlah eksport padi sebanyak USD41.6 juta. Ketika Malaysia memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-8 yang memberi tumpuan kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan, arah aliran pengurangan pengeluaran padi menjadi lebih ketara.

Ini mengakibatkan keterjaminan makanan di paras kurang memuaskan dan Malaysia terpaksa mengurangkan eksport untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi penggunaan tempatan. Strategi ketiga tertumpu kepada sistem bandar dan teknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti makanan.

Berdasarkan GSFI, Singapura berada di kedudukan ke-28 walaupun keluasan tanahnya yang jauh kecil berbanding Malaysia.

Sebagai perbandingan, keluasan Singapura hanyalah 719 km persegi iaitu lebih kecil daripada keluasan negeri Perlis yang mempunyai keluasan 819 km persegi.

Pada 2019, mereka melancarkan kempen 30 hingga 30. Ini adalah satu usaha untuk meningkatkan kapasiti sektor makanan pertanian bagi memenuhi 30 peratus permintaan pemakanan global secara mampan menjelang 2030.

Matlamatnya adalah untuk menubuhkan pusat teknologi pertanian bandar.

Antara strategi dalam inisiatif 30 hingga 30 adalah pencahayaan LED berbilang tingkat dalaman dan sistem akuakultur peredaran semula, Ladang Ikan Terapung Pintar Teknologi Akuakultur Singapura yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pertumbuhan dan kesihatan ikan dan Sky Greens menggunakan sistem berasaskan peringkat berputar yang mengoptimumkan penyerapan cahaya dan air untuk menghasilkan sayur-sayuran berdaun.

Dengan adanya sistem bandar berteknologi tinggi ini boleh meningkatkan pengeluaran agromakanan.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 7:01 AM