Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebanyak 128 ladang ternakan ayam di negeri ini yang menghasilkan kira-kira 17 juta ekor ayam setahun tidak mampu untuk menampung permintaan yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini jumlah pengeluaran ayam adalah sebanyak 30,722 metrik tan (mt) berbanding keperluan sebanyak 42,880 mt atau 64.18 peratus.

Menurutnya, setakat ini negeri belum mempunyai ladang ayam pengeluar, manakala keperluan telur ayam di negeri dibekalkan oleh ladang penelur dari negeri lain.

Katanya, berikutan itu kerajaan negeri akan membangun dan memajukan ternakan ayam di negeri ini.

"Antara tindakan bagi menyelesaikan isu bekalan ayam dan telur ialah membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Kampung Telaga Papan, Setiu dan Kampung Mengadang Baling, Kuala Nerus sebagai zon penternakan unggas lengkap dengan pelbagai kemudahan infrastruktur asas.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri akan melaksanakan Enakmen Perladangan Unggas bagi pembangunan ladang secara bersistematik bagi meningkatkan pengeluaran ayam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, pada masa sama langkah berkenaan dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kenaikan harga ayam.

Menurutnya, kerajaan sudah menyalurkan subsidi pada kadar antara 30 sen sehingga 60 sen sekilogram kepada penternak ayam pedaging yang berdaftar di negeri ini.

"Penyaluran subsidi itu dijangka mampu mengurangkan kos kenaikan makanan ternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 12:33 PM