Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Kerajaan negeri melipat gandakan usaha dan ikhtiar agar segala inisiatif bagi memperkukuhkan sekuriti makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aspek keterjaminan makanan sentiasa diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri berpandukan pedoman sebagaimana beberapa siri titah yang disampaikan sebelum ini oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Kerajaan negeri berkolaborasi dengan agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar," katanya ketika sembah ucapannya sempena Perak Agrofest 2023 di Ladang Infoternak Sungai Siput di sini, hari ini.

Sultan Nazrin berkenan merasmikan festival yang mempromosi produk berasaskan pertanian, inovasi dan teknologi terkini pertanian itu.

Program tiga hari bermula semalam bertemakan 'Lestari Agro, Perak Makmur' itu dianjurkan secara dwitahunan dan diadakan secara berselang seli dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang antara lain turut memberi peluang kepada usahawan khususnya di negeri ini mempromosi dan memperkenalkan produk hasilan ke pasaran lebih tinggi.

Turut berangkat, Tunku Datuk Seri Kamel Tunku Rijaluddin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurutnya, penganjuran Perak Agrofest 2023 itu merupakan kesinambungan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memperkasa aspek sekuriti atau keterjaminan makanan yang menjadi satu daripada enam agenda utama dalam pelan pembangunan negeri iaitu Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, Perak Agrofest adalah penjenamaan semula kepada program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri, yang mana ia merupakan satu platform strategik yang diwujudkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan terkini dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani.

Katanya, Nisbah Sara Diri (SSR) negeri Perak bagi sektor pertanian untuk 2022 bagi 13 jenis tanaman terpilih adalah mencukupi serta memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR melebihi 100 peratus iaitu membabitkan kelapa, jagung manis, belimbing, betik, jambu batu, pisang, bayam, bendi, kacang panjang, sawi, terung, timun dan ubi keledek.

"Bagi sektor perikanan, Perak merupakan peneraju sektor perikanan di Malaysia dengan jumlah pengeluaran tertinggi untuk aktiviti akuakultur dan perikanan tangkapan sehingga mencatatkan Tahap Kadar Sara Diri (Self Sufficiency Level-SSL) pada kadar 98.31 peratus pada 2022.

"Untuk sektor komoditi ternakan bagi 2022, komoditi unggas sudah melebihi nilai SSR 100 peratus iaitu membabitkan komoditi ternakan daging ayam/itik dan telur ayam/itik.

"Selain itu, susu segar lembu adalah pada kadar SSL 94.4 peratus, manakala kerjasama strategik agensi negeri dengan para pemegang taruh terus dipergiatkan untuk meningkatkan kadar SSR bagi pengeluaran daging lembu /kerbau dan daging kambing/bebiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 12:42 PM
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan melawat tapak pameran pada majlis perasmian Perak Agrofest Lestari Agro Perak Makmur di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara. FOTO L.MANIMARAN
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan melawat tapak pameran pada majlis perasmian Perak Agrofest Lestari Agro Perak Makmur di Ladang Infoternak Sungai Siput Utara. FOTO L.MANIMARAN