Azmi Mat Yatim, 49, menunjukkan antara ikan darat yang diperoleh hasil menjala ikan di Sungai Lachang, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Azmi Mat Yatim, 49, menunjukkan antara ikan darat yang diperoleh hasil menjala ikan di Sungai Lachang, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Limpahan air Sungai Lachang, di sini, memberi rezeki kepada penduduk kampung untuk menjala ikan bagi hidangan keluarga selain turut memberi pendapatan sampingan.

Penduduk, Azmi Mat Yatim, 49, berkata dia bersama beberapa rakan sudah membina titi di pinggir sungai sebagai persediaan untuk menjala ikan jika air sungai melimpah.

"Sejak petang semalam, air mula memenuhi pinggir sungai untuk kami menjala kerana banyak ikan darat. Alhamdulillah, saya sendiri berhasil beberapa jenis ikan darat untuk dijamu kepada keluarga.

"Antara ikan darat yang ada seperti baung, toman galang, tebakan, lampam jawa, keli dan patin yang dijual serendah RM5 sehingga RM60 sekilogram bergantung kepada jenis ikan," katanya.

Che Mahmud Che Ismail, 62, pula berkata, dia tidak melepaskan peluang menjala ikan selepas air sungai mula melimpah sejak dua hari lalu.

"Selepas ini, jika paras sungai semakin meningkat selain bertembung dengan aliran Sungai Golok, arus menjadi deras serta menyukarkan penduduk untuk menjala.

"Jika air sungai naik mendadak, maka penduduk perlu segera berpindah ke tempat selamat terutama bagi yang tinggal di kampung berdekatan dengan sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 4:46 PM