AZHAR (kanan) dan Rohaizad bersyukur dengan ikan yang dijala di kawasan dilanda banjir di Kampung Pulau, Durian Tunggal dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
AZHAR (kanan) dan Rohaizad bersyukur dengan ikan yang dijala di kawasan dilanda banjir di Kampung Pulau, Durian Tunggal dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Alor Gajah: Banjir yang berlaku di Durian Tunggal, di sini sejak semalam, turut membawa bersama 'rezeki' apabila pelbagai ikan air tawar mudah ditemui dan ditangkap penduduk.

Dengan menggunakan jala, jaring dan joran, penduduk berjaya menangkap ikan air tawar seperti haruan, keli, sepat, puyu, sebarau dan seumpamanya di kawasan yang dinaiki air.

Azhar Abdullah berkata, dia bersyukur apabila mampu memperoleh pelbagai jenis ikan seberat kira-kira lima kilogram (kg) hasil kegiatan menjala.

"Saya mula menjala dari jam 8 pagi tadi. Sejam kemudian, saya sudah mendapat lima kg ikan puyu, sepat, keli Afrika dan haruan yang amat sedap jika dimasak asam pedas atau masak lemak cili padi.

"Rezeki sebegini bukan selalu boleh diperoleh, sebaliknya hanya pada musim banjir," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini, tadi.

Sementara itu, Rohaizad Ismail, 35, berkata, dia amat berpuas hati apabila seekor ikan keli Afrika seberat kira-kira tiga kg terperangkap dalam jalanya.

Menurutnya, kebanyakan rumah di Kampung Pulau di sini, dinaiki air kelmarin dan hingga semalam masih belum surut.

Liza Ahmad, berkata, dia mencuba nasib dengan memancing ikan menggunakan umpan cengkerik.

"Saya bernasib baik kerana memperoleh ikan betuk, tilapia dan haruan selepas memancing kira-kira sejam mulai jam 9 pagi tadi.

"Alhamdulillah, saya tidak bercadang menjual ikan itu, sebaliknya akan memasaknya untuk hidangan keluarga," katanya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 4:23 PM