ZAKARIA menunjukkan ikan toman diperoleh semasa menjala di pintu air di Kampung Sri Tujoh, Tumpat. FOTO Bernama
ZAKARIA menunjukkan ikan toman diperoleh semasa menjala di pintu air di Kampung Sri Tujoh, Tumpat. FOTO Bernama
BERNAMA

Tumpat: Pintu air berhampiran Kampung Sri Tujoh, di sini, yang dibuka bagi mengelak kawasan sawah padi tenggelam akibat hujan lebat turut memberi rezeki buat penduduk sekitarnya apabila pelbagai jenis ikan seperti toman, keli, sepat dan patin diperoleh menerusi aktiviti menjala.

Penduduk Kampung Sri Tujoh, Zakaria Mamat, 52, berkata sejak semalam, dia bersama-sama rakan sekampung tidak menang tangan menjala ikan di lokasi berkenaan meraih rezeki tiba pada setiap musim tengkujuh itu.

Katanya, pintu air itu dibuka bagi membolehkan air dari kawasan sawah padi seterusnya Sungai Tapang mengalir keluar ke laut.

"Pintu air dibuka bagi memastikan kawasan bendang dan jalan sekitar kampung di situ tidak tenggelam akibat hujan lebat sejak Rabu.

"Pembukaan pintu air turut membawa bersama pelbagai jenis ikan seperti toman, keli, sepat dan patin yang turut keluar apabila pintu air itu dibuka," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Sri Tujoh, hari ini.

Zakaria yang bekerja sebagai buruh berkata, biarpun banyak ikan keluar dari pintu air itu, yang paling utama ialah teknik menjala bagi memastikan setiap tebaran membawa hasil.

Menurutnya, air keluar dari pintu dibuka itu akan mengalir deras dan membentuk pusaran dan ketika itu, tak perlu menebar jala.

"Sebaliknya apabila pusaran sedikit lemah, bagi kami yang berpengalaman dapat lihat ada buih akan timbul dan itu tandanya ada ikan di dalam pusaran air.

"Itu waktu yang sesuai untuk menebar jala," katanya yang memperoleh hampir 10 ekor ikan pelbagai jenis.

Bersyukur dengan rezeki diperoleh, Zakaria tetap mengamalkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dalam keghairahan menjala ikan darat, rezeki dalam musim tengkujuh ini.

Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 11:41 AM