Kak KM atau nama sebenar Liana Rosli.
Kak KM atau nama sebenar Liana Rosli.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya difitnah. Kenyataan saya dalam video itu diputar-belit," kata pempengaruh yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Kak KM.

Kak KM atau nama sebenar Liana Rosli sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dua siri video dirinya mencetuskan kritikan dan perdebatan dalam kalangan warganet hingga menjadi tular.

Pertama, Kak KM didakwa mempercayai prinsip Feng Shui yang boleh memberi kekayaan dan kedua mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertikaikan mereka yang solat sunat dua rakaat selepas subuh tetapi tidak kaya.

Menurutnya, dia masih waras dan mempunyai pegangan agama untuk berbuat seperti apa yang ditularkan.

"Sekarang ini saya memang diam saja. Biarkan mereka terus bercakap dan melemparkan kata-kata tak baik dan fitnah kepada saya. Pada hakikatnya, apa yang mereka perkatakan itu tak benar sama sekali.

"Video yang saya cakap feng shui itu sebenarnya saya nak bantu kakak jual tanah. Saya hanya cakap saja untuk tujuan 'marketing'. Tidak bermakna saya buat dan percaya.

"Saya tak sejahil itu untuk memperlekehkan agama. Saya masih waras. Macam-macam mereka pertikai dan persoalkan saya.

"Cumanya, selama ini saya saja tak nak tunjuk perkara dan amalan dibuat. Untuk apa?" katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia masih berpegang pada ajaran Islam dan percaya Allah Yang Satu.

"Kalau saya tak percayakan Allah dan solat, kenapa saya buat segala ajaran yang diperintahkan agama. Kalau nak cakap soal sedekah, sembahyang dan lain-lain semua itu saya buat. Malah ramai juga yang selalu tengok. Kenapa tak nak tularkan yang itu?

Saya juga percaya rezeki yang dikurniakan pada saya hari ini daripada Allah.

"Kedua ibu bapa saya sudah ajar sejak kecil mengenai solat, mengaji dan lain-lain. Saya dah tahu. Sebab itu saya cakap dalam video tak perlu ajar saya.

"Sebaliknya yang berlaku apabila video itu dipotong dan dipendekkan. Ia dah jadi lain sehingga orang ramai salah erti. Jadi, apabila dah sampai tahap ini saya takkan berdebat dengan mereka. Saya takkan layan," katanya.

Mengenai kempen yang dijalankan warganet supaya memboikot perniagaan yang diusahakan, Kak KM berkata dia tetap percaya pada rezeki Allah.

"Saya sudah tujuh tahun berniaga dan memberi manfaat kepada ramai orang. Kenapa nak boikot? Mereka tahu tak maksud boikot? Bisnes orang Melayu terus nak boikot. Mereka yang nak boikot tu tak pernah beli produk saya.

"Mereka yang kurang ajar tu pun tak ramai. Sebaliknya masih ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata positif. Sebab mereka tahu saya macam mana.

"Alhamdulillah, produk semakin laris. Rezeki saya daripada Allah. Saya sentiasa percaya pada Allah. Dia saja tahu niat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 3:52 PM