IQRAM bersama ibunya.
IQRAM bersama ibunya.
IQRAM hargai rakan ambil berat mengenai dirinya.
IQRAM hargai rakan ambil berat mengenai dirinya.
Sudirman Mohd Tahir


Hujung tahun lalu nama Iqram Dinzly hangat diperkatakan gara-gara membuat video ‘live’ di Instagram miliknya yang dianggap pelik oleh netizen.

Video berkenaan memaparkan Iqram menari, menyanyi, membuat aksi lucah dan mengghairahkan, bercakap bukan-bukan, marah serta banyak lagi sehingga ramai menyifatkan pelakon drama Dunia Baru itu sudah gila.

Tindakan Iqram itu menarik perhatian beberapa pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Tidak ketinggalan beberapa selebriti turut menzahirkan rasa simpati terhadapnya.

Disebabkan tingkah laku Iqram itu, ramai juga yang menyuarakan kebimbangan untuk berjumpa dengannya sekali gus ada berfikir dia mampu memberi tindak balas agresif terhadap seseorang.

Pertemuan empat mata antara penulis dengan Iqram di kediamannya di Ipoh, Perak, kelmarin berlangsung dengan baik, malah dia tidak seperti yang difikirkan segelintir pihak.

Seperti kata ibunya, Lalitol Akmar Mohamad Shaffie, Iqram masih waras dan normal, begitu juga pandangan penulis.

Menurut Iqram, tidak ada apa yang perlu ditakuti kerana dia masih orang sama cuma kini ingin dikenali sebagai DR Princhiqy Dinzly.

“Kalau takut jumpa saya mereka ini syirik. Kenapa takut nak jumpa saya, sebaliknya takutlah kepada Allah. Apa saya boleh katakan, tak perlu takut kerana saya masih sama dan ‘gila-gila’.

“Definisi gila bagi saya adalah saya suka memutarbelitkan segala keadaan kerana saya ada satu revolusi yang ingin dibuat seiring penggunaan nama baru ini.

“Cuma saya bimbang sekiranya ada insan atau makhluk tidak puas hati dengan apa yang cuba saya perjuangkan iaitu seni, adat resam dan budaya. Apa dilihat sekarang, inilah saya. Setiap kata-kata dilontarkan adalah untuk diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya.

Pada masa sama, Iqram berterima kasih kepada rakan artis yang menegur serta menghantar mesej bertanyakan khabar mengenai dirinya.

Namun, Iqram berpesan kepada mereka jangan hanya pandai cakap mengambil berat sebaliknya datang berjumpa dengannya.

“Saya tak ada masalah jika ada rakan artis nak tegur cara baik seperti Zul Yahya dan Usop Wilcha. Malah, saya bersyukur ramai yang ambil berat dan menghantar mesej. Namun, ramai juga yang membuat kenyataan dan tidak faham.

“Kalau betul ambil berat, kenapa tak datang? Setakat ambil berat di laman sosial tak guna. Bagi saya, adab kena ada. Bukan nak bercakap bongkak atau kurang ajar, tetapi saya penat dengan sikap segelintir manusia.

“Ada juga yang komen dan ambil berat kerana risau saya akan bunuh diri. Sampai ke situ tahap pemikiran mereka. Saya masih waras dan ada pegangan agama. Kalau cakap mengenai mati, setiap hari saya berdoa agar mati awal. Saya berasakan tak layak berada di muka bumi. Namun, Allah belum mengizinkan lagi,” katanya.

Makin lama berlakon, makin murah bayaran

Ditanya mengenai keputusan tidak berlakon, Iqram berkata, ia berpunca daripada masalah bayaran selain sikap pilih kasih segelintir syarikat produksi.

“Saya tak nak bergelumang lagi dengan dunia glamor ini. Syarikat produksi nak hasil kerja bagus, tetapi apa yang mereka berikan kepada anak seni sebaliknya. Saya tak faham apa mereka cuba lakukan. Bukan saja pelakon, tetapi kru juga melalui perkara sama. Namun, mereka simpan saja.

“Sepanjang berlakon, saya berasakan diri tak pernah dihargai. Kalau dapat tawaran, diberikan harga murah. Pendek kata seni ini dilayan seperti sampah. Buat apa saya nak sia-siakan perkara ini.

“Bukan saya nak lebih, tetapi kenapa di Malaysia anak seni makin lama seseorang itu harga makin murah? Jadi, saya ambil keputusan berundur

dan buat perkara lain. Sekarang ini saya selesa bermain di alam maya kerana ia lebih dapat sambutan. Walaupun ada kecaman, tak mengapa,” katanya.

Tidak terkecuali, Iqram dikatakan berkelakuan pelik kerana kemurungan akibat bebanan hutang cukai pendapatan.

“Saya tak ada kemurungan, malah seronok dengan kehidupan sekarang. Beberapa bulan sebelum hujung 2017, ibarat satu layar perak. Saya bersyukur diberi ujian dan dugaan daripada Allah. Terlalu indah untuk dikongsi bersama. Saya percaya ada juga melalui perkara sama seperti saya.

“Mengenai isu cukai pendapatan, saya difahamkan ada tunggakan RM200,000. Saya sudah lantik ejen berurusan dengan pihak terbabit, namun tidak ada sebarang kerjasama. Mereka minta kemukakan bil 10 tahun lalu iaitu sejak 2006. Malah, nak saman jika tak dapat diselesaikan.

“Saya tak ada masalah jika ini keputusan mereka. Namun, jika ia boleh mengganggu kesihatan ibu, saya takkan duduk diam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Iqram kini dalam usaha memperkenalkan ideologi baru iaitu Bawa Abata Merebucks.

“Idea ini berkaitan seni, budaya dan adat. Bagi saya, perkara ini makin pudar dalam diri masyarakat kita. Jadi, saya nak uar-uarkan kepada semua dan mencari pelabur untuk menggerakkan lagi usaha ini.

“Apa saya lalui sepanjang tahun lalu adalah satu inspirasi yang diterapkan dalam diri. Saya buat bukan untuk kepentingan diri sendiri saja, tetapi untuk semua orang juga. Apa saya inginkan adalah hapuskan sikap negatif, paksikan sikap positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 6:41 AM