JALAN Kampung Dalam Ru di Pasir Puteh dinaiki air susulan hujan berterusan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
JALAN Kampung Dalam Ru di Pasir Puteh dinaiki air susulan hujan berterusan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sistem saliran tersumbat antara faktor menyebabkan banjir di Pasir Puteh yang hingga kini membuka tiga pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan 178 mangsa daripada 46 keluarga.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, jumlah mangsa itu direkod setakat 6 petang.

"Punca pemindahan setakat ini adalah saliran tersumbat dan tidak dapat menampung hujan yang berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa daerah di Kelantan sehingga 24 November, berisiko menyebabkan banjir di banyak kawasan.

Katanya, secara keseluruhan, semua daerah mengalami hujan, namun paras sungai masih normal kecuali Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok yang kini pada tahap waspada dengan bacaan 7.9 meter.

Muhammad Zaki berkata, tiada jalan yang ditutup lagi dan pasukannya di setiap daerah sudah bersiap sedia menghadapi banjir.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan patuh pada arahan serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya untuk berpindah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:56 PM