Penduduk meredah banjir kilat yang melimpahi jalan utama di Kampung Bukit Abal, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penduduk meredah banjir kilat yang melimpahi jalan utama di Kampung Bukit Abal, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin meningkat kepada 96 orang daripada 31 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 63 orang daripada 17 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas di negeri berkenaan, merangkumi empat di Dungun dan masing-masing dua di Kemaman dan Setiu.

NADMA dalam laporannya memaklumkan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di enam negeri berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muda di Sik, Kedah; Sungai Sarang Buaya di Muar, Johor; Sungai Arau (Perlis); Sungai Kinabatangan (Sabah); Sungai Terengganu (Hulu Terengganu dan Setiu) dan Sungai Setiu di Terengganu serta Sungai Rompin (Pahang).

Sebanyak 17 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan cerun runtuh antaranya Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Pasir Puteh, Kelantan, Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor dan Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang.

Sementara itu, Kelantan kembali dilanda banjir dan sebuah PPS dibuka di Pasir Puteh susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin lalu.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 123 mangsa daripada 42 keluarga terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, Pasir Puteh.

Berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat 4 petang tadi, Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok berada pada paras amaran dengan merekodkan bacaan 8.23 meter.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di sembilan lokaliti di Kelantan sehingga esok (25 Januari).

Kawasan terbabit adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 6:35 PM