SUNGAI Golok. FOTO Arkib NSTP
SUNGAI Golok. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Hujan berterusan hari ini menyebabkan tiga sungai utama di Kelantan meningkat dan berada di paras amaran sehingga jam 9 malam ini.

Antara sungai yang berada di paras amaran adalah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 8.71 meter (m) berbanding normal 5m, Sungai Golok di Empangan Bukit Kwong, Rantau Panjang (17.48m) dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, di sini (1.84m).

Tiga sungai pula melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.12m), Sungai Semerak di Pasir Puteh (2.07m) dan Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok (7.78m).

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di negeri ini juga meningkat sedikit kepada 594 orang malam ini berbanding 574 orang 5 petang tadi.

Kesemua mereka daripada 181 keluarga ditempatkandi tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok dan Pasir Mas.

Jumlah mangsa yang berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor adalah seramai 254 orang daripada 69 keluarga, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat di Bachok pula 114 orang daripada 35 keluarga serta di SK Gual To'Deh di Rantau Panjang (226 orang daripada 77 keluarga).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 11:12 PM