FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hamzah Osman


Langkawi: Perikatan Pelancongan Pulau Langkawi (LITA) menempelak pihak yang gemar memberi kenyataan tidak tepat berkaitan industri pelancongan di sini sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Jurucakap LITA yang juga Pengerusi Kelab Komuniti Pelancongan Langkawi (KKPL), Hazani Hussin berkata, pihak tidak bertanggung jawab itu sepatutnya perlu tampil membantu dan bukannya 'mencederakan' industri yang dalam proses bangkit semula.

"Kami berpendapat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebaiknya perlu mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh memberi kesan negatif kepada persepsi pelancong tempatan dan asing.

"Kononnya pelancong asing dilarang minum arak dan tidak boleh berseluar pendek di pulau ini yang disebut ketika berbahas di Parlimen langsung tidak tepat dan memberi publisiti buruk," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hazani berkata, pihaknya juga sepakat memohon kerajaan negeri meningkat dan mempergiatkan program promosi bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini sempena kempen Tahun Melawat Kedah 2025.

"Isu perkhidmatan feri yang tidak stabil susulan alur pelayaran feri yang cetek akibat banyak lumpur masih tiada kesudahan dan perlu penyelesaian segera bagi memastikan kemasukan pelancong domestik tidak terus terjejas.

"Pada masa sama, pihak berkaitan khususnya Kementerian Pengangkutan perlu berusaha meningkatkan jumlah penerbangan terus ke pulau ini bagi menambah bilangan kemasukan pelancong antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sepakat merayu kepada Kementerian Dalam Negeri melonggarkan syarat visa ketibaan (VOA) bagi pelancong dari China dan India sebagai usaha meningkatkan jumlah pelancong dari dua negara itu.

"Kami juga memandang serius dan menolak dakwaan tidak masuk akal dan kenyataan berunsur negatif yang dibuat oleh individu tertentu yang kononnya beliau mewakili seluruh penggiat industri pelancongan di pulau ini.

"Kenyataan semborono beliau dengan mengetengahkan fakta tidak tepat, selain menggambarkan pulau ini semakin sunyi dari kehadiran pelancong menyebabkan industri pelancongan tempatan makin tersisih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 3:11 PM